Kami bawa pemain muda kerana perancangan jangka panjang kami adalah untuk layak ke Piala Dunia – Soleen Al-Zoubi
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita, Soleen Al-Zoubi memberitahu bahawa penyertaan mereka dalam kejohanan Women’s International Friendly bukan untuk menjuarai kerana skuad yang dibawa adalah gabungan pemain senior dan muda.
Menurut Soleen, beliau dan barisan kejurulatihan menjadikan kejohanan itu sebagai salah satu perancangan jangka masa panjang dalam misi untuk mara ke Piala Dunia Wanita.
“Kami bawa ramai pemain muda untuk labur kepada mereka dan beri pengalaman kerana strategi jangka masa panjang adalah untuk layak ke Piala Dunia.
Ini adalah baru permulaan, sejujurnya kami tidak mensasarkan untuk menang kejohanan ini tapi jika menang ia sangat bagus untuk negara dan beri motivasi kepada pemain-pemain,”
katanya.
Skuad Malayan Tigress akan membuka tirai kejohanan dalam aksi Kumpulan A menentang tuan rumah Arab Saudi esok 18 September, sebelum menentang Pakistan pada 21 September.
Dalam pada itu, pengendali dari Jordan itu memberitahu pemain-pemainnya berada pada tahap terbaik dan sudah pun mula menyesuaikan diri dengan keadaan di Taif, Arab Saudi.
Beliau pada masa sama turut berpuas hati dengan kemudahan dan fasiliti yang disediakan oleh pihak penganjur untuk kejohanan kali ini.
“Bagi saya kejohanan ini sangat penting untuk pemain-pemain saya kerana mereka pernah bermain di peringkat tertinggi, berdasarkan kedudukan kita di Asia Tenggara semua pasukan yang kita bertemu adalah kualiti Piala Dunia seperti Filipina dan Vietnam.
Jadi ini kali pertama pasukan Malaysia bermain dengan pasukan setaraf. Jadi saya jangka akan lihat kelebihan teknikal buat pemain saya yang mana mereka dapat bermain dengan yakin dan tenang serta cuba terapkan apa yang apa yang dimahukan.”
Selain Malaysia, Arab Saudi dan Pakistan, Bhutan, Laos dan Lebanon turut menyertai kejohanan yang akan berlangsung dari 18 hingga 30 September.