Kalau berhenti main bola ibarat memberhentikan hidup saya sendiri – Nikhil Nakendran
Pemain yang mengisi posisi penjaga gol di Johor Bahru International (JBI) Sports Club, Nikhil Nakendran tidak mahu meninggalkan bola sepak meskipun bakal menghadapi peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Nikhil yang kini berumur 16 tahun menganggap bola sepak sebagai separuh daripada kehidupannya dan beliau sendiri akui mampu untuk menyeimbangkan pelajaran serta latihan sekiranya tempoh peperiksaan sudah semakin hampir.
“Saya rasa tidak mustahil untuk lakukan kedua-duanya, saya tidak rasa akan berhenti bermain semata-mata untuk fokus kepada SPM dan saya rasa saya boleh lakukan kedua-duanya walaupun ia agak sukar,”
“Kalau berhenti bermain bola seperti saya memberhentikan hidup saya sesungguh itu saya mencintai bola sepak dan selain daripada kecederaan saya akan tetap bermain,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Selain itu juga, beliau yang merupakan adik kepada Navesh Nakendran yang merupakan jurulatih di kelab tersebut memaklumkan bahawa kini beliau sedang berfikir-fikir untuk meneruskan kerjayanya sebagai pemain bola sepak ke peringkat profesional memandangkan ia bukan suatu yang mudah untuk dilakukan.
“Setahun yang lalu, saya akan jawab ingin menjadi pemain profesional tetapi sekarang saya sudah mengenali bola sepak dengan mendalam dan saya dapati agak sukar namun saya akan berusaha lebih keras supaya saya dapat pergi ke peringkat profesional,”
“Namun buat masa sekarang saya masih memikirkan banyak perkara tapi sejujurnya saya memang menyimpan impian untuk bermain sebagai profesional satu hari nanti,”
Selepas beberapa tahun beraksi bersama JBI, Nikhil akui antara pencapaian terbaiknya bukan dari sudut kejuaraan namun apabila beliau dapat bermain dengan baik sebagai sebuah pasukan di kelab tersebut.
Sebelum ini dikhabarkan, kelab ini mengalami kesukaran untuk meraih kemenangan atas sebab-sebab tertentu yang memaksa jurulatih melatih dan membentuk menjadi pasukan berkualiti sehingga hari ini.
“Pencapaian terbaik saya adalah dapat bermain dengan corak permainan satu pasukan memandangkan sebelum ini pada tahun lalu, kami agak susah untuk meraih kemenangan dan selepas latihan serta perubahan yang dibuat oleh jurulatih kami akhirnya berjaya walaupun tidak ramai yang kekal namun yang ada sehingga hari ini sememangnya antara terbaik.”