Sudah tentu kami berminat dengan Arif Aiman dan Faisal Halim, mereka adalah dua pemain terbaik – Abbas Saad
Ketua jurulatih Central Coast Mariners, Abbas Saad mengakui beliau berminat untuk melihat dua pemain berbakat Malaysia, Arif Aiman dan Faisal Halim beraksi di Liga Australia satu hari nanti.
Katanya, beliau gemar melihat kedua-dua pemain itu dan mereka mempunyai gaya permainan yang beliau terapkan.
“Bagi saya Arif adalah pemain terbaik di Malaysia dan tidak jauh di belakangnya adalah Faisal, mereka mungkin dua pemain paling kecil di Liga Super tetapi mereka adalah pemain terbaik di sini.
Saya suka sekiranya dapat melihat mereka beraksi di Liga Australia satu hari nanti, dan kelab kami tentu sekali berminat dengan salah seorang atau kedua-duanya kerana mereka sangat berbakat,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau melihat bahawa Liga Malaysia kini sudah semakin berkembang, lebih-lebih lagi dengan apa yang dilakukan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT).
Katanya, banyak pasukan di Liga Malaysia kini yang sudah mengikuti apa yang dilakukan oleh JDT, justeru menjadikan Liga Malaysia semakin baik.
“Saya rasa Liga Malaysia kini semakin baik, sepanjang 10 tahun lalu sejak pasukan JDT ada, saya tak pasti sama ada ia melemahkan liga atau menguatkan lagi tetapi apa yang pasti mereka bergerak ke arah yang betul.
Dengan tahap profesionalisme yang JDT bawa, semua pasukan kini semakin mengejar contohnya Terengganu, Sri Pahang, Selangor dan Kedah Darul Aman, dan mereka tidak jauh di belakang.”
Abbas juga berharap satu hari nanti semakin ramai pemain-pemain dari Australia yang akan dirisik pasukan Liga Malaysia.