Untuk kejohanan tempatan kita perlukan sekurang-kurangnya 25 kejohanan semusim – Sukree Othman

101

Pemain golf profesional negara, Sukree Othman berharap jelajah golf Malaysia perlu ditingkatkan jumlah kejohanan setiap musim.

Ini kerana menurut Sukree, pemain golf profesional tempatan memerlukan sekurang-kurangnya 25 kejohanan tempatan setiap musim untuk memberi ruang dan peluang kepada pemain golf tempatan untuk memperoleh lebih banyak wang sekaligus dapat bersaing di kejohanan antarabangsa.


“Kejohanan ketika ini tidak cukup untuk kami. Bagi seorang pemain profesional sejujurnya kita perlu ada sekurang-kurangnya 25 kejohanan tempatan setiap musim.

Jika kejohanan tempatan bertambah ia akan memberi impak positif kepada pemain golf yang mana mereka dapat memperoleh lebih banyak wang sekaligus dapat bersaing di kejohanan antarabangsa,”

katanya.

Tambahnya lagi, dengan wang kemenangan itu membolehkan seseorang pemain untuk menyertai kejohanan antarabangsa biarpun tidak mempunyai penaja.

Untuk musim 2023, jelajah Profesional Golf Malaysia (PGM) yang dikenali sebagai Toyota Tour hanya membabitkan 10 kejohanan sahaja bermula pada Mac lalu dan akan menutup tirainya pada Oktober ini.

Dalam pada itu, Sukree mengakui sedikit bergelut pada tahun ini untuk mempamerkan aksi terbaiknya, namun berharap dapat menutup tirai jelajahnya pada tahun ini sekurang-kurangnya dengan satu kemenangan.

“Musim ini saya bergelut sedikit dan berharap untuk cuba menamatkan setiap kejohanan dalam kedudukan Top 10 atau Top 5 atau sekurang-kurangnya berjaya menang satu kejohanan.”

Sementara itu, selepas ini beliau akan turun beraksi dalam kejohanan Camry Cup 2023 dan Alphard Cup dan Toyota Championship (ADT).