Bagus untuk lihat golf Malaysia berada di landasan yang betul – Ainil Bakar
Disebalik kekurangan kejohanan dalam jelajah Profesional Golf Malaysia (PGM), pemain golf profesional wanita negara, Ainil Bakar gembira dengan melihat golf di Malaysia kini berada di landasan yang betul.
Ainil berkata demikian selepas melihat Order of Merit jelajah di negara iaitu Toyota Tour menyaksikan semakin ramai pemain golf muda semakin bersinar.
“Saya rasa tua apabila melihat Order of Merit (selorohnya), tapi ia bagus untuk melihat golf di Malaysia berada di landasan betul, terutamanya bagi saya apabila melihat semakin ramai pemain golf wanita berbakat muncul,”
katanya.
Beliau yang berpengkalan di Eropah turut pulang ke tanah air untuk menyertai kejohanan tempatan apabila beliau memberitahu bahawa akan menyertai kejohanan Camry Cup 2023 yang akan berlangsung di Forest City Golf Resort, Johor pada awal Oktober ini.
“Kejohanan akan datang di Johor saya akan main dan kemudian akan kembali ke Eropah pada hujung Oktober ini.
Saya sudah lapan tahun beraksi di Eropah. Di sana banyak pesaing dari Eropah selain mempunyai pemain dari Jepun dan juga ASEAN.
Kami ambil keputusan untuk bermain di Eropah kerana mahukan pendedahan dan juga mengumpul mata ranking.”