Tora Bola diwujudkan untuk mendidik penyokong mengenai dunia bola sepak kini dan juga sejarah kegemilangan Sabah

218

Apabila bercakap mengenai bola sepak di negeri Sabah ketika ini pastinya rata-rata penyokong bola sepak di negeri itu mengenali dengan Tora Bola.

Tora Bola diilhamkan oleh seorang penyokong tegar bola sepak Sabah sejak zaman kegemilangan pasukan Negeri di Bawah Bayu pada era 80an iaitu Abdul Rahim yang telah melalui pelbagai fasa naik dan turun sepanjang menjadi penyokong The Rhinos.


Tidak hanya bersama ketika berada di atas, Rahim juga antara penyokong yang tetap bersama pasukan kesayangan ketika zaman kejatuhan pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia.

Objektif utama kewujudan Tora Bola adalah untuk mendidik penyokong mengenai dunia bola sepak ketika ini dan pada masa sama turut menyelitkan mengenai sejarah-sejarah bola sepak Sabah yang tidak diketahui oleh penyokong muda.

“Saya memang mengikuti perkembangan bola sepak Sabah sejak kecil lagi, jadi saya punya pandangan sendiri mengenai pengurusan dan taktikal tetapi saya fikir ketika itu untuk saya bercakap mengenai bola sepak Sabah yang kita mahu menyumbang sesuatu kepada bola sepak Sabah sebagai penyokong biasa walaupun mempunyai lesen kejurulatihan, benda itu tidak akan sampai ke atas(pengurusan).

Jadi saya terfikir yang saya perlu ada satu platform untuk sampaikan apa yang saya mahu sampaikan. Pada masa sama saya melihat kebanyakkan kandungan sedia ada tidak banyak tunjuk scenes bola sepak lama dengan kebanyakkan mengenai bola sepak tahun 2010 ke atas.

Jadi saya buat keputusan disamping bercakap mengenai bola sepak semasa, saya juga selitkan unsur-unsur sejarah lama. Ini adalah cara untuk saya menyumbang sesuatu kepada bola sepak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ditubuhkan pada tahun 2019, Tora Bola kini sudah hampir lima tahun mewarnai dunia bola sepak tempatan khususnya bola sepak di negeri Sabah.

Menurut Rahim, beliau pada mulanya menghasilkan video-video bercakap mengenai bola sepak dengan menutup wajahnya dengan emoji kepala harimau animasi kerana bimbang dengan tindak balas negatif daripada orang.

Beliau bagaimanapun mengambil keputusan untuk menyelitkan keratan-keratan akhbar lama sebagai bukti bahawa beliau tidak hanya cakap kosong sahaja.

“Tidak semua apa yang kita cakap orang suka, ada juga komen-komen negatif. Sebab itu kemudian saya selitkan artikel-artikel lama yang mana apabila saya bercakap artikel-artikel lama itu saya anggap ia membantu saya untuk orang tahu yang saya bukan bercakap kosong saja.”

Tidak lama kemudian, Rahim mengambil keputusan untuk tidak hanya sekadar memuat naik video bercakap sahaja, sebaliknya beliau mula turun ke stadium untuk abadikan momen-momen penyokong dalam bentuk visual iaitu Vlog.

Mengakui tidak mudah untuk melakukannya pada mulanya, Rahim bagaimanapun bersyukur apabila usaha kerasnya selama ini akhirnya membuahkan hasil.

Beliau kini tidak hanya turun menyaksikan pasukan kesayangan beraksi di Stadium Likas sahaja, sebaliknya beliau juga sanggup turun ke perlawanan away di seluruh negara.

Tora Bola kini tidak hanya membuat Vlog, sebaliknya turut mempunyai podcast Bola Mania dan banyak lagi.

Sementara itu, Rahim juga berharap satu hari nanti Tora Bola akan menjadi rujukan penyokong yang ingin tahu mengenai sejarah bola sepak Sabah.