Baju Kawasaki Frontale tapi hati tetap JDT – Amir Ryo Shishido

206

Peminat bola sepak asal Jepun, Ryotaro Shishido atau nama Islamnya Amir Ryo Shishido akui meskipun memakai jersi pasukan Kawasaki Frontale ke perlawanan malam ini namun hatinya tetap menyokong Johor Darul Ta’zim.

Amir Ryo yang merupakan peminat sukan bola sepak Malaysia sanggup memandu sejauh 300 lebih kilometer daripada Kuala Lumpur untuk menyaksikan perlawanan antara kelab dari negara asalnya Kawasaki Frontale menentang kelab kesayangannya, JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.


“Hari ini saya datang dengan berbaju Kawasaki Frontale tetapi dalam hati saya tetap sokong JDT,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain itu, Ryo yang sudah tinggal di Malaysia lebih dari tiga tahun melihat bola sepak JDT memerlukan lawan yang kuat di peringkat domestik supaya dapat menjadikan bola sepak negara ini lebih maju dan kuat untuk bersaing dengan negara luar.

“JDT merupakan pasukan nombor satu di Malaysia tetapi mereka memerlukan lebih banyak pasukan yang kuat di dalam negara kerana jika JDT bersaing dalam kalangan pasukan yang kuat maka satu hari nanti bola sepak negara turut menjadi semakin kuat,”

Menurut Ryo lagi beliau akan memilih Arif Aiman sebagai seorang pemain yang mampu untuk bermain di Liga Jepun berdasarkan prestasi dan corak permainannya yang dipersembahkannya.

“Jika boleh pilih saya mahu dia (Arif Aiman) untuk bermain di Liga Jepun kerana selalu menampilkan permainan yang baik di atas padang,”

Ryo turut memberitahu bahawa di Malaysia hanya JDT yang menonjol dan peminat luar fokus kepada kelab ini sahaja apabila di Malaysia namun sekiranya ada kelab lain yang mampu memberi saingan dan bertanding di peringkat yang lebih tinggi, beliau tetap akan sokong.

“Saya hanya sokong JDT, tetapi jika ada pasukan yang mampu bertanding di luar negara misalnya Jepun, saya akan turut menyokong mereka kerana saya cintakan Malaysia,”

Menjelang Piala Asia, Ryo menyifatkan Malaysia yang ditempatkan bersama Korea Selatan, Bahrain dan Jordan mempunyai peluang untuk layak ke pusingan berikutnya memandangkan prestasi yang baik.

“Saya rasa pasukan Malaysia akan mara mengalahkan pasukan-pasukan di peringkat kumpulan dan saya sangat teruja untuk melihat pasukan Malaysia berbanding Jepun,”

Beliau yang sebelum ini telah mendirikan rumah tangga bersama wanita Malaysia meluahkan rasa gembira dan cinta dengan budaya yang ada di Malaysia.

“Budaya di Malaysia sangat bagus, keluarga yang penyayang, berbuat baik dengan ahli keluarga, saling sayang menyayangi dan juga yang paling seronok adalah balik kampung.”