Darren Lok mahu kekalkan momentum untuk bantu Sabah FC menang perlawanan pertama Piala AFC
Penyerang sensasi Sabah FC, Darren Lok berharap dapat meneruskan momentum kecemerlangan ketika bersama pasukan kebangsaan apabila Sabah akan turun beraksi menentang Huogang United FC dalam perlawanan Piala AFC 2023 esok.
“Sudah pasti saya gembira pulang dari pasukan kebangsaan dengan prestasi terbaik, tapi kini saya kembali dengan Sabah jadi saya mahu fokus dan beri yang terbaik untuk dapatkan keputusan positif esok,”
katanya.
Menurut Darren, Piala AFC adalah kejohanan yang sangat dinanti-nantikannya kerana beliau berharap dapat pamer aksi terbaik bagi membantu skuad Sabah pergi sejauh yang mungkin dalam kejohanan ini.
Sabah akan membuka tirai saingan Piala AFC dalam Kumpulan H esok di Stadium Likas yang mana menyaksikan mereka kembali beraksi di pentas Asia selepas lebih 20 tahun.
“Kami sebagai pemain perlu pastikan pasukan memulakan kempen dengan baik kerana kita bermain di tempat sendiri dan berharap penyokong dapat turun memberikan sokongan buat pasukan.”
Darren yang teruja dengan perlawanan esok berharap dapat buat penyokong bangga dengan aksi mereka esok.