Sebab itu kita perlukan lebih banyak perlawanan agar pemain dapat rasa tekanan sebenar – Soleen Al-Zoubi
Jurulatih pasukan bola sepak wanita negara, Soleen Al-Zoubi akui penyudah yang tumpul dihadapan gol memberikan mereka kesukaran untuk mencari tiga mata pertama dalam Kejohanan Persahabatan Bola Sepak Wanita yang kini sedang berlangsung di Arab Saudi.
Skuad wanita negara yang turun menentang Pakistan dalam perlawanan kedua selepas seri bertemu dengan tuan rumah beberapa hari lalu masih gagal untuk mencetak gol dan menurut Soleen sendiri pasukannya memerlukan masa lagi untuk meningkatkan kemampuan penyudah mereka terutama apabila diselubungi tekanan dalam perlawanan sebenar.
“Saya boleh katakan satu atau dua hari tidak cukup untuk berlatih memperbaiki penyudah dan kita perlukan lebih banyak latihan bagi memantapkan aspek ini akan tetapi ini antara sebab mengapa kita memerlukan lebih banyak perlawanan sebegini agar pemain dapat merasai tekanan sebenar yang sangat berbeza berbanding semasa latihan,”
katanya.
Namun bagi Soleen sendiri, beliau melihat anak buahnya telah menampilkan peningkatan dalam permainan mereka terutama dari aspek tempo permainan yang lebih laju dan peluang mencetak gol yang lebih banyak berbanding perlawanan mereka terdahulu ketika menentang Arab Saudi.
“Sekali lagi kita peroleh keputusan yang kita tidak mahukan, tetapi jika dilihat banyak peningkatan berbanding perlawanan pertama dari sudut tempo perlawanan dan kita mempunyai banyak peluang dihadapan gol namun seperti semua boleh lihat kami tidak begitu gagah di bahagian penyudah,”
Memandangkan masih berbaiki satu perlawanan sebelum ke pusingan separuh akhir, Soleen menggesa untuk para pemainnya bermain dengan lebih baik agar dapat meraih kemenangan sekaligus memberikan mereka sedikit lagi masa bagi memperbaiki corak permainan dan penyudah mereka.
“Kita masih lagi dalam kejohanan ini dan berpeluang layak ke pusingan separuh akhir, saya berharap untuk perlawanan seterusnya para pemain memberikan persembahan yang lebih baik dan jika layak ke separuh akhir kami akan ada masa seminggu jadi saya ada masa yang banyak bersama pemain untuk berlatih.”