Saya agak kecewa, kami tumpul di bahagian serangan – Intan Serah
Penyerang skuad wanita kebangsaan, Intan Serah kecewa akibat gagal mencetak gol meskipun sudah berjaya mengekang pasukan wanita Pakistan dari awal perlawanan sehingga ke tiupan wisel penamat.
Intan yang dikenali dengan sepakannya yang deras sehingga kini masih belum mencetak nama sebagai penjaring gol buat pasukan Malaysia di Kejohanan Women’s International Friendly yang sedang berlangsung di Arab Saudi.
Menurut Intan, Malayan Tigress bermain dengan sangat baik dengan mengawal permainan sejak awal namun disebabkan ketumpulan di bahagian serangan menyebabkan mereka gagal meraih tiga mata dan akur dengan satu mata yang diperoleh.
“Saya sangat bangga dengan pasukan sebab kami sudah buat yang terbaik daripada mula sehingga ke wisel penamat tetapi keputusan tidak menyebelahi kami,”
“Agak kecewa juga kerana daripada awal kami yang mengawal permainan tetapi kami tumpul di hadapan gol,”
katanya.
Pemain berusia 24 tahun itu juga berharap rakan sepasukan dapat bersama-samanya dalam usaha meraih kemenangan pertama dalam perlawanan seterusnya selain ingin memperbaiki aspek penyudah yang dilihat sangat kritikal sehingga mereka tidak berpeluang untuk mencetak sebarang gol selepas dua perlawanan menentang Arab Saudi dan Pakistan.
“Apa yang saya harapkan untuk perlawanan seterusnya kami dapat memperbaiki segala kekurangan yang dihadapi semasa menentang Arab Saudi dan Pakistan selain kami akan cuba juga untuk tingkatkan kemahiran penyudah di hadapan gol dan menjadi pasukan yang lebih baik,”
Selepas dua perlawanan yang berkesudahan dengan seri, Intan mengungkapkan ucapan terima kasih buat para peminat bola sepak wanita tanah air selain menyeru agar mereka tetap menyokong mereka dalam perjuangan untuk merebut kejuaraan kali ini.
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tetap menyokong kami meskipun belum dapat memberikan kemenangan tetapi dengan satu mata yang diperoleh itu amat berharga dan saya harap peminat di tanah air akan terus menyokong kami di sini.”
Malayan Tigress yang dikendalikan oleh Soleen Al-Zoubi kini sedang berentap dalam Kejohanan Women’s International Friendly anjuran Konfederasi Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) yang menampilkan lima lagi pasukan iaitu Laos, Pakistan, Bhutan, Lebanon dan tuan rumah, Arab Saudi.