Harimau Malaya masih di hati Lee Tuck, adakah beliau masih relevan untuk wakili Malaysia?
Setelah mengangkat kaki dari pasukan Kedah Darul Aman FC pada pertengahan musim ini, kelibat pemain naturalisasi negara, Lee Tuck sudah tidak lagi dilihat bermain bola sepak secara profesional.
Melalui perkongsian di media sosialnya, beliau kini dilihat aktif dalam bidang hartanah yang telah dilakukannya sejak sekian lama ketika beliau masih bermain bola sepak lagi.
Bagaimanapun, satu hantaran beliau baru-baru ini menarik perhatian peminat bola sepak tempatan apabila beliau dilihat mengenakan jersi latihan Harimau Malaya ketika sedang bersenam di sebuah gim.
Beliau juga turut memuat naik semula hantaran peminat yang memaparkan ketika beliau bermain di Terengganu satu ketika dahulu.
Walaupun beliau kini sudah tiada lagi di Malaysia, namun bola sepak Malaysia dilihat masih lagi berada di lubuk hatinya.
Mungkinkah ini petanda bahawa beliau masih lagi belum ‘move on’ dengan bola sepak dan berharap untuk terus mewakili negara?
Di laman ‘bio’ Instagramnya juga, beliau masih memperkenalkan dirinya sebagai pemain bola sepak profesional.
Sejak dinaturalisasikan, beliau sering menampilkan persembahan yang baik bersama skuad kebangsaan dan mendapat pujian daripada peminat.
Lee Tuck mempunyai sembilan kaps bersama Harimau Malaya, dengan menyumbang tiga jaringan.
Pada panggilan skuad kebangsaan untuk perlawanan persahabatan baru-baru ini, namanya tidak tersenarai, dan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon mengakui sukar untuk beliau menyenaraikan Lee Tuck kerana buat masa ini tidak mempunyai kelab.
Tidak dinafikan Lee Tuck merupakan antara pemain negara yang sentiasa menampilkan permainan yang baik apabila diturunkan.
Beliau juga boleh menjadi salah satu aset buat negara pada kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2023 sekiranya masih lagi bermain ketika ini.