Arif Aiman adalah pemain yang punya kawalan bola terbaik di negara ketika ini – Pak Syed
Pengasas Pak Syed FC (PS) Ball Mastery, Syed Adnan Bin Syed Othman memberitahu bahawa pemain kebangsaan Arif Aiman merupakan satu-satunya pemain yang mempunyai kawalan bola terbaik di negara ketika ini.
Menurut Pak Syed, berdasarkan penelitiannya terhadap permainan bintang muda itu, Arif bukan sahaja mempunyai kawalan bola yang cukup baik, tetapi juga mempunyai kepantasan dan bijak.
“Setakat ini bagi saya pemain yang mempunyai kawalan terbaik di negara ketika ini adalah Arif Aiman.
Sebab saya pilih beliau adalah kerana dua situasi iaitu beliau boleh menyelesaikan masalah ketika bergerak laju dengan bola dan ketika berhenti dengan bola.
Apabila beliau berhenti dengan bola berhadapan dengan pemain lawan, beliau masih boleh selesaikan masalah. Apabila beliau bergerak dengan bola, beliau juga dapat selesaikan masalah,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau bagaimanapun pun berkata, biarpun mempunyai kawalan bola yang cukup baik namun ia tidak bermakna pemain itu sempurna kerana tiada pemain bola sepak yang sempurna dalam dunia.
Pak Syed pada masa sama turut membidas segelintir peminat yang kerap mengkritik dek kesilapan yang dilakukan oleh pemain.
“Mana ada pemain bola sepak yang sempurna 100%! Kalau beliau dapat 10 biji dan lepas empat biji pun sudah dikira cukup bagus juga. Ini peminat bila pemain buat sikit kesilapan terus marah. Mana boleh macam itu sebab tiada pemain yang sempurna dalam dunia.”
Pak Syed sendiri turut mengakui bahawa beliau juga tidak sempurna dan modul yang diajarnya juga akan kadang-kala berbeza kerana perlu buat perubahan untuk kebaikan.
Dalam pada itu, walaupun ramai yang kurang mengenali Pak Syed, namun beliau agak terkenal dalam kalangan pemain bola sepak profesional yang turut hadir ke latihannya untuk memperkemas teknik permainan mereka.
“Memang ada pemain profesional yang belajar dengan saya tapi saya tidak mahu dedahkan nama-nama pemain itu kerana mahu mereka berkarya di atas padang dan menjadi sebutan ramai dan akan buat orang tertanya-tanya siapa tok guru dia.”
Pemain-pemain profesional yang merupakan anak didiknya kini beraksi dalam saingan Piala MFL, Piala Presiden dan Piala Belia.
Sementara itu, modul Ball Mastery beliau turut mendapat perhatian pihak luar apabila beliau baru sahaja mendapat tawaran untuk mengajar pemain-pemain di negara Guinea.
Jelasnya, sekiranya tiada aral melintang beliau mungkin akan terbang ke negara Afrika itu pada bulan Januari tahun depan.