Saya kenal pasukan Lubnan, bagi kami perlawanan esok ibarat aksi final – Soleen Al-Zou’bi
Ketua jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zou’bi menganggap perlawanan separuh akhir Kejohanan Women’s International Friendly menentang Lubnan esok ibarat perlawanan akhir.
Katanya, beliau menjangkakan persembahan yang baik daripada anak-anak buahnya dan percaya mereka telah melakukan persediaan yang baik menjelang perlawanan itu.
“Ia bakal menjadi satu perlawanan yang sukar, saya tahu mengenai pasukan Lubnan, mereka bermain dengan baik dan mempunyai pemain hebat yang bermain di Eropah.
Bagi kami ia adalah perlawanan akhir dan saya harap pemain semua fokus, saya jangkakan persembahan yang baik daripada mereka kerana itu adalah perkara paling penting buat kami,”
katanya.
Soleen berkata, beliau melihat peningkatan pada pemain Malaysia ketika sesi latihan dan mereka kini dapat menyesuaikan diri dengan lebih baik.
Tambahnya, dengan rehat yang mencukupi, fizikal pemain kini lebih baik dan bersedia untuk menghadapi perlawanan esok.
Sementara itu, pemain Malayan Tigress, Usliza Usman bertekad mahu menjaringkan gol pada perlawanan menentang Lubnan esok sekiranya dipilih oleh jurulatih.
“Jika jurulatih beri peluang saya berada dalam kesebelasan utama, saya akan beri 100 peratus dan jaringkan gol untuk pasukan.
Saya berterima kasih kepada penyokong yang terus menyokong kami dan harap supaya sokongan ini diteruskan esok.”