Ketika ini tiada pasukan yang boleh senang-senang tewaskan Malaysia – Syed Adney

456

Bekas penjaga gol kebangsaan, Syed Adney Syed Hussein melihat skuad Harimau Malaya ketika ini tidak mudah untuk ditewaskan oleh pasukan-pasukan besar begitu sahaja seperti zaman dahulu.

Katanya, para pemain kini lebih yakin dengan diri mereka dan mampu menyerap tekanan dengan baik apabila menentang pasukan-pasukan kuat.


“Sekarang ini saya lihat tiada pasukan yang senang-senang boleh tewaskan kita, ketika menentang China tempoh hari saya pun tidak jangka kita boleh tahan dan memberi saingan kepada mereka.

Kalau dulu apabila bertemu pasukan besar sahaja kita akan kerap kehilangan bola selepas dua atau tiga hantaran, selain kerapa bermain bola tinggi apabila diberi tekanan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau memberi kredit kepada ketua jurulatih, Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihannya kerana berjaya mengubah skuad negara menjadi lebih baik.

Dalam pada itu, beliau melihat kembalinya kejohanan Pestabola Merdeka adalah sesuatu yang baik buat bola sepak negara kerana ia mempunyai nilai tersendiri.

Untuk edisi kali ini, beliau berpendapat bahawa penyertaan pasukan-pasukan di ranking yang lebih tinggi seperti Palestin, India dan Taijikistan adalah satu ujian yang baik buat skuad negara.

“Bagi saya, apabila kita menentang pasukan yang lebih berkualiti, pemain dapat mengambil cabaran buat diri mereka.

Kita boleh lihat adakah kita boleh bermain bola sepak dengan tempo yang lebih tinggi.”

Untuk rekod, Syed Adney merupakan juara Pestabola Merdeka edisi 2007 bersama skuad B-23 negara yang dibimbing mendiang B Sathianathan.