BMU JB harap dapat tubuhkan sebuah pasukan untuk bersaing dalam liga domestik

243

Bola sepak di negara ketika ini memperlihatkan perkembangan yang cukup memberangsangkan terutamanya bola sepak amatur yang dilihat meningkat dengan cukup drastik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dengan akses kepada padang bola sintetik yang semakin mudah, makin banyak kelab-kelab bola sepak amatur ditubuhkan yang mana mereka terlibat dalam perlawanan persahabatan dan juga saingan liga amatur.


Kelab peminat pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Manchester United di Malaysia yang dikenali Buletin Manchester United cawangan Johor (BMU JB) antara yang aktif dengan aktiviti bola sepak.

Walaupun ketika ini bermain secara rekreasi sahaja, namun mereka mempunyai ketua jurulatih iaitu Dato’ Seri M. Dinesh yang akan mengatur taktikal dan perancangan pada setiap perlawanan persahabatan.

Dengan dibarisi ramai pemain-pemain yang mempunyai pengalaman beraksi dalam saingan liga di negeri itu, Dinesh berharap satu hari nanti mereka dapat menubuhkan pasukan yang akan bersaing dalam liga domestik.

“BMU JB ketika ini adalah untuk perlawanan persahabatan sahaja yang mana kami bermain secara seronok-seronok sahaja.

Sudah pasti kami ada sasaran. Pemain-pemain BMU ketika ini mereka mempunyai pasukan mereka sendiri, tapi sasaran kami adalah satu hari nanti untuk menubuhkan sebuah pasukan BMU JB yang mantap untuk beraksi dalam saingan liga domestik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ditubuhkan pada tahun 2015, Dinesh berkata objektif utama penubuhan BMU JB adalah untuk mengeratkan hubungan antara peminat Manchester United menerusi aktiviti bola sepak.

“Kita dapat lihat prestasi pasukan ini cukup bagus kerana kebanyakkan pemain kita bermain dalam saingan liga di Johor ini jadi masing-masing sudah mempunyai kualiti, jadi apabila dalam perlawanan mereka mudah untuk tunjuk kemampuan mereka di atas padang.”

Dalam pada itu, bagi pengurus BMU JB pula iaitu Jamil Nagoor Kalanjiam memberitahu bahawa mereka sangat aktif dengan ahli-ahli mereka dengan pelbagai aktiviti termasuk program kebajikan.

“Kami mempunyai ahli lebih 300 dan kami sangat aktif di media sosial terutamanya di group Whatsapp.

Aktiviti utama kami adalah mengatur perlawanan bola sepak padang, futsal, aktiviti match view dan juga program-program kebajikan.”

Jamil Nagoor juga berkata BMU JB sentiasa terbuka untuk mana-mana individu yang ingin sertai kelab mereka dan secara tidak langsung dapat sertai apa sahaja aktiviti yang dianjurkan oleh mereka.