Hukuman terhadap pemain dan pegawai pasukan kita serah pada Jawatankuasa Tataterbit FAM – Noor Azman
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman tidak dapat mengulas lanjut mengenai insiden membabitkan pemain dan pegawai pasukan Selangor FC dalam insiden menyepak dan melontarkan kata kesat kepada pengadil perlawanan.
“Perkara itu saya serahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM, jadi kita tunggu kenyataan daripada ahli lembaga dalam masa terdekat ini,”
katanya.
Dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 di antara Selangor FC dan Terengganu FC telah menyaksikan pemain import tuan rumah iaitu Yazan Al-Arab didapati menyepak pengadil selepas dilayakangkan kad merah.
Ketidak puasan hati pasukan Gergasi Merah berlanjutan sehingga selepas tamat perlawanan apabila pegawai-pegawai pasukan itu dilihat turut melontarkan kata-kata kesat kepada pengadil yang berjalan masuk ke bilik persalinan.
Dalam pada itu, susulan insiden panas tersebut pihak pengurusan Selangor juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang mana mereka turut menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk tindakan yang tidak menghormati semangat kesukanan oleh mana-mana pihak.
Pihak kelab juga akan melakukan siasatan dalaman dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Pada masa sama, Selangor juga telah membuat laporan berhubung mutu pengadilan perlawanan kepada FAM untuk pertimbangan sewajarnya.
Sementara itu, Noor Azman juga berharap selepas ini insiden sama tidak berulang kerana semua pihak perlu bersikap profesional.
“Kita sentiasa mengingatkan saluran yang betul untuk membuat laporan. Pemain perlu kawal emosi dan bersikap profesional.”