Jurulatih baru skuad B-23 akan terapkan falsafah sama dengan skuad senior

420

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman memberitahu ketua jurulatih baharu untuk pasukan kebangsaan B-23 nanti akan mempunyai falsafah selari dengan skuad senior kendalian Kim Pan-gon.

Noor Azman bagaimanapun tidak dapat mendedahkan lagi identiti pengendali baru skuad Harimau Muda itu.


“Ketua jurulatih baru perlu mempunyai falsafah sama dengan skuad senior. Tunggu kita umumkan dalam masa terdekat ini,”

katanya.

Beliau pada masa sama turut tidak dapat mendedahkan jumlah calon yang disenarai pendek untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

Terdahulu, E. Elavarasan telah mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai pengendali skuad B-23 biarpun berjaya membawa skuad negara layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 di Qatar.

Keputusan untuk melepaskan jawatan tersebut kerana mahu memberi tumpuan kepada tugasan asalnya sebagai penolong ketua jurulatih skuad senior.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sudah bersedia untuk menjadi venue kepada kejohanan Pestabola Merdeka 2023 pada bulan Oktober ini dan juga kelayakan Piala Dunia 2026 pada November nanti.