Penganjuran Karnival Uniti Pestabola Merdeka adalah untuk menyatupadukan masyarakat
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang teruja dengan pelancaran Karnival Uniti Pestabola Merdeka 2023 buat julung kalinya kerana ia sebuah karnival yang dapat menyatupadukan masyarakat negara.
Karnival ini dilancarkan bersempena dengan kejohanan Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bermula 13 hingga 17 Oktober ini.
“Ia sangat istimewa kerana karnival ini adalah kali pertama kita anjurkan kerana kita mahu memupuk semula sejarah Pestabola terdahulu dengan memanggil semula pemain-pemain negara dahulu untuk memeriahkan lagi.
Tujuan utama kita adalah untuk perpaduan masyarakat,”
katanya.
Dengan mengangkat tema ‘Bola Sepak Menyatukan Kita’, ia akan memberi ruang kepada seluruh masyarakat untuk memeriahkan karnival dengan menjadikan SNBJ sebagai tapak integrasi nasional dan juga khazanah kebanggaan negara.
Beliau juga menjangkakan puluhan ribu pengunjung dari seluruh negara akan memeriahkan karnival ini yang akan berlangsung selama lima hari iaitu dari 13 hingga 17 Oktober.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bagi memastikan setiap kaum dan bangsa turut sama terlibat dalam sukan bola sepak, mereka telah menganjurkan Liga Sukan Uniti.
“Liga Sukan Uniti masih berjalan yang mana kita menetapkan syarat di mana setiap pasukan perlu dibarisi oleh semua kaum dan bangsa.”