Di Malaysia banyak bakat dalam e-sukan tetapi tidak dicungkil kerana ekosistem yang suram – Fenrir
Pemain professional EAFC Malaysia, Muhammad Luqman Haziq Hajiman atau lebih dikenali sebagai Fenrir menganggap ekosistem e-sukan di Malaysia harus ditambah baik bagi melahirkan ramai lagi pemain-pemain berbakat.
Katanya, di Malaysia sebenarnya ramai individu yang berbakat besar dalam bidang e-sukan tetapi tidak dicungkil akibat ekosistem yang suram.
“Kita ada ramai sangat bakat tetapi tidak dicungkil kerana tiada ekosistem yang bagus dan kuat macam negara-negara jiran seperti Indonesia dan Singapura.
Di Malaysia saya tahu ada banyak kekangan cotohnya dari segi kewangan dan juga kesanggupan, bukan sahaja pihak kerajaan tetapi juga korporat untuk melabur kerana mereka tidak yakin,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Selain itu, beliau juga berkata platform telefon bimbit (mobile games) yang lebih diberi perhatian berbanding PC dan konsol juga membuatkan ekosistem e-sukan di negara ini terhad.
“Ekosistem kita juga lebih fokus kepada mobile games berbanding PC dan konsol jadi membuatkan ekosistem itu tidak stabil.
Saya harap pada masa hadapan lebih banyak pelaburan dapat dilakukan dalam ekosistem supaya pemain dapat kestabilan dan fokus kepada kerjaya mereka sebagai seorang atlet e-sukan.”
Beliau berharap, dengan penjenamaan semula permainan FIFA kepada EAFC, ia akan merancakkan lagi permainan itu di negara ini.