Kecewa tapi saya tetap bangga dengan persembahan pemain – Soleen Al-Zoubi

201

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita, Soleen Al-Zoubi mengakui kecewa apabila mereka tewas kepada Lubnan 4-3 dalam penentuan penalti dalam perlawanan separuh akhir Women’s International Friendly semalam.

Disebalik kekalahan itu, Soleen tetap meluahkan rasa bangganya terhadap persembahan pemain-pemainnya yang mampu memberi saingan apabila menentang pasukan yang sudah lama bermain bersama.


“Sudah pasti saya kecewa kerana nasib tidak menyebelahi kita apabila kita kalah dalam penentuan penalti, tapi saya tetap bangga dengan persembahan dengan pemain yang mana mereka mampu beri saingan kepada pasukan yang berpengalaman.

Kita tahu Lubnan adalah sebuah pasukan yang cukup berpengalaman kerana mereka sudah lama bermain bersama dan jika hendak dibandingkan dengan pasukan kita yang baru dibentuk, jadi saya rasa kita bermain dengan cukup baik,”

katanya.

Soleen pada masa sama turut gembira apabila pasukan berjaya mengekalkan rekod bersih tanpa bolos dalam ketiga-tiga perlawanan.

Beliau turut memuji aksi pemain-pemainnya yang menunjukkan peningkatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan lain.

Dalam pada itu, beliau secara keseluruhan berpuas hati dengan prestasi pasukan kerana untuk menang kejohanan bukanlah objetif utama mereka.

“Kami sertai kejohanan ini bukan untuk mengejar kejuaraan kerana kemenangan akan datang sekiranya kami melakukan perkara yang betul dan ketika ini pasukan berada di landasan tepat.”

Terdahulu, skuad Malayan Tigress berjaya mara ke peringkat separuh akhir selepas berjaya mengutip dua mata dalam dua perlawanan peringkat kumpulan menentang Arab Saudi dan Pakistan.