BG Pathum United ajak penyokong JDT tonton perlawanan ACL secara percuma
Selepas sah menjuarai saingan Liga Super buat kali kesepuluh berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan kembali meneruskan perjuangan dalam AFC Champions League (ACL) selasa depan menentang BG Pathum United.
JDT akan berkunjung ke gelanggang lawan dengan misi untuk bangkit semula setelah tewas aksi pertama menentang Kawasaki Frontale.
BG Pathum United juga pastinya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencatat kemenangan setelah turut tewas pada aksi pertama menentang Ulsan Hyundai.
Bagi penyokong JDT yang tidak berkesempatan untuk berkunjung ke Thailand, mereka boleh menonton perlawanan tersebut secara percuma melalui saluran YouTube BG Pathum United.
Pada musim ini, kelab itu telah mendapatkan hak penyiaran untuk perlawanan melibatkan kelab itu di saingan ACL.
Ini adalah satu inisiatif buat pasukan itu bagi menghargai penyokong mereka yang tidak dapat hadir ke stadium.
Malah, BG Pathum United sendiri yang mempelawa penyokong JDT untuk menonton perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan itu di salurang YouTube mereka.
Tidak semua penyokong JDT yang melanggan saluran berbayar untuk menyaksikan perlawanan itu, justeru ini adalah peluang buat mereka untuk menonton.
Ini juga adalah satu usaha yang baik oleh BG Pathum United dari segi pemasaran dalam mempromosikan lagi saluran YouTubenya, dan mungkin boleh menaikkan lagi ‘subscriber’ di saluran YouTube mereka.
Dengan inisiatif yang dilakukan oleh BG Pathum United ini, tiada alasan buat penyokong kedua-dua pasukan untuk tidak menonton perlawanan tersebut dan memberi sokongan secara virtual.