Malayan Tigress akan lebih bersedia untuk penentuan penalti untuk perlawanan tempat ketiga – Soleen Al-Zoubi
Ketua jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan pemain-pemainnya apabila mereka bakal sekali lagi menentang tuan rumah Arab Saudi dalam penentuan tempat ketiga Women’s International Friendly esok.
Soleen berkata sebagai persedia menjelang perlawanan esok, beliau akan turut memberi fokus pada latihan penalti bagi memastikan pemain berada dalam keadaan bersedia sekiranya perlawanan diheret ke penentuan penalti.
“Bagus untuk kami apabila akan bertemu dengan Arab Saudi kerana kami sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan mereka dalam dua perlawanan terdahulu, sekaligus akan menggunakannya untuk merencana strategi terbaik.
Ya, kami perlu bersiap sedia untuk apa sahaja kemungkinan jadi kami perlu bersiap sedia sekiranya perlawanan diheret ke penentuan penalti yang mana kita akan gunakan pengalaman pada perlawanan lalu sekiranya sekali lagi berdepan situasi sama.
Latihan penalti bukan untuk mengajar cara mengambilnya kerana pemain bintang dunia juga sering tidak berjaya menyempurnakan penalti. Latihan kita adalah lebih kepada untuk pemain kekal dalam tenang dalam situasi tekanan,”
katanya.
Pada perlawanan separuh akhir menentang Lubnan tempoh hari, skuad negara terpaksa akur selepas tewas 4-3 dalam penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 selepas 120 minit perlawanan.
Dalam pada itu, beliau turut berkata latihan pasukan yang dilakukan adalah latihan ringan sahaja kerana pemain-pemain masih lagi dalam proses untuk recover dari perlawanan sebelum ini.
Beliau bagaimanapun berkata motivasi kesemua pemain berada pada tahap tertinggi dan bersemangat untuk menamatkan kejohanan ini di tempat ketiga.
“Pasukan berada dalam keadaan terbaik dan cukup bersemangat untuk cuba menang perlawanan esok untuk mendapatkan tempat ketiga kerana bagi saya mereka berhak untuk dapat sekurang-kurangnya tempat ketiga.”