Pasukan yang bertahan dengan baik adalah pasukan yang mampu menyerang dengan baik – Abu Haniffa Hasan

216

Abu Haniffa Hasan iaitu kapten skuad futsal kebangsaan yakin dengan corak latihan yang ditekankan oleh jurulatih mereka, Rakphol Saitnegam sangat cukup untuk mempersiapkan mereka bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Asia Futsal 2024 di Uzbekistan.

Abu yang ditemui memberitahu meskipun tidak mempunyai masa yang lama berlatih di bawah kendalian Rakphol namun dengan penekanan dalam aspek pertahanan dan prestasi yang baik ditonjolkan ahli pasukan semasa di Thailand membuatkan beliau lebih yakin untuk bersaing di peringkat tertinggi Asia itu.


“Dalam sebulan ini boleh dikatakan ia satu tempoh yang singkat untuk buat persediaan ke kelayakan Piala Asia ini, tetapi jurulatih Rakphol memang terapkan mahu kami berikan 100% semasa latihan,”

“Bagi kami sepasukan apa yang paling ditekankan kepada para pemain adalah dari aspek pertahanan yang mana jurulatih selalu pesan kepada kami bahawa pasukan yang memiliki pertahanan yang baik adalah pasukan yang mampu menyerang dengan baik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga sangat teruja dan yakin dengan kemampuan pemain-pemain muda yang dilihat semakin hari semakin matang lebih-lebih lagi selepas kepulangan mereka daripada Thailand tempoh hari selepas perlawanan persahabatan menentang Chinese Taipei, Afghanistan dan Thailand.

“Dari segi persediaan yang agak singkat bagi saya semua pemain sudah bersedia untuk menghadapi pentas kelayakan ini yang mana kita memiliki pemain-pemain muda walaupun mereka belum memiliki banyak pengalaman bermain di peringkat tinggi,

“Tetapi dengan bermain di Thailand baru-baru ini saya nampak mereka semakin matang dan dengan izin Allah mereka akan membantu pasukan kami di sana nanti,”

Selain Abu, seorang lagi pemain futsal kebangsaan iaitu Syahir Iqbal turut memuji taktikal yang diterapkan oleh jurulatih baru skuat futsal kebangsaan tersebut dan menyifatkan ia sangat berlainan dengan apa yang dipraktikkan semasa bermain di peringkat kelab.

“Jurulatih Rakphol ini sangat berbeza dengan corak latihan di peringkat kelab terutama apabila melibatkan pertahanan dan bagi saya corak latihan beliau ini memang memberi impak yang besar kepada pasukan.”

Skuad futsal kebangsaan berlepas ke Uzbekistan malam ini dan bakal menentang pasukan tuan tumah, Iraq dan juga Kemboja bermula 7 Sehingga 11 Oktober.