Pembangunan akar umbi setiap negeri ada, tetapi tidak diketengahkan seperti JDT – Juzaili Jasmey
Pengasas akademi bola sepak Melawati Junior Tigers iaitu Juzaili Jasmey menyifatkan bahawa perlu ada lebih banyak kerjasama antara akademi-akademi bola sepak dan kelab-kelab tempatan bagi membantu Pembangunan akar umbi di negara ini.
Tambahnya, pencari bakat juga harus lebih aktif untuk bergerak ke setiap pelusuk negara untuk mencungkil bakat-bakat yang terpendam.
“Saya lihat pembangunan bola sepak untuk setiap negeri itu ada cuma tidak begitu diketengahkan, saya rasa akademi utama di setiap negeri patut ada kerjasama dengan kelab.
Untuk pencari bakat pula, mereka harus keluar dengan lebih lagi untuk mencari bakat di kejohanan-kejohanan tertentu seperti di Liga Suparimau dan di peringkat negeri,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pada pendapatnya, akademi kelab-kelab di Malaysia ini tidak begitu meyerlah seperti Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT), di mana pelatihnya mempunyai akses terhadap fasiliti yang sangat baik.
Beliau melihat, Pembangunan akar umbi di akademi JDT berada di tahap yang lebih tinggi berbanding di pasukan-pasukan lain.
“Saya rasa semua pasukan tempatan yang bersaing dalam Liga Malaysia ada akademi cuma tidak begitu menyerlah seperti JDT kerana ia mempunyai fasiliti yang baik.”
Sementara itu, beliau melihat perkembangan bola sepak akar umbi di negara ini semakin meriah pada hari ini dengan tumbuhnya banyak akademi-akademi baharu.
Selain itu, inisiatif pihak Kerajaan dalam membangunkan bola sepak di peringkat akar umbi turut membantu contohnya dengan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).