Saya rindu E. Elavarasan! Sudah tiba masa beliau kembali ke skaud Harimau Malaya – Kim Pan-gon
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon nyata teruja dengan kepulangan penolongnya iaitu E. Elavarasan ke dalam skuad negara selepas melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan B-23 negara baru-baru ini.
Menurut Pan-gon, beliau bangga dengan pencapaian Elavarasan yang berjaya bawa skuad Harimau Muda layak ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar tahun hadapan dan kembalinya ke dalam skuad senior.
“Saya sangat merindui beliau! Kami perlu beliau kembali, sudah tiba masa beliau kembali. Kembalinya beliau akan membantu saya dan pemain-pemain termasuk membawa semangat positif untuk pasukan.
Tahniah kepada beliau atas kejayaan beliau membawa pasukan B-23 layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23. Ia adalah pencapaian yang cukup bagus, namun kami perlukan beliau,”
katanya.
Sebanyak 25 pemain telah dipanggil oleh Pan-gon untuk kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula semalam dalam persiapan bagi menghadapi Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil dari 13 hingga 17 Oktober ini.
Beliau berkata pemain-pemain yang dipanggil yang baru sahaja mengharungi perlawanan AFC Champions League (ACL) dan Piala AFC akan menjalani sesi recovery terlebih dahulu.
“Hari ini bagi pemain-pemain yang terlibat dengan ACL dan Piala AFC kami perlu bantu mereka untuk proses recovery terlebih dahulu, manakala pemain-pemain lain yang sudah cuti seminggu kami akan buat pemantauan untuk lihat kondisi mereka dan buat program khas untuk mereka.
Hari ini saya akan mulakan sesi latihan taktikal untuk perlawanan menentang India bagi menentukan permainan kami nanti.”
Pengendali dari Korea Selatan itu turut mendedahkan bahawa pemain tengah Sabah FC, Stuart Wilkin mengalami sedikit kecederaan hamstring tapi tidak serius dan perlukan masa yang singkat untuk pulih.
Beliau bagaimanapun berkata barisan kejurulatihan dan pegawai perubatan pasukan akan terus memantau tahap kecergasan kesemua pemain setiap masa.
Skuad negara akan membuka kempen Pestabola Merdeka pada 13 Oktober menentang India dan seterusnya akan berdepan samada Palestin atau Tajikistan pada aksi final atau penentuan tempat ketiga pada 17 Oktober.
Dalam pada itu, menjelang kejohanan paling berprestij di Asia iaitu Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung di Doha, Qatar pada Januari tahun depan, Pan-gon menuntut pemain-pemainnya untuk terus bekerja keras bagi merealisasikan sasaran mereka untuk berada di ranking ke-100 dunia.
Malah beliau juga berkata tiada seorang pemain pun yang boleh berasa ‘terjamin’ akan berada dalam skuad kerana setiap pemain perlu bersaing untuk mendapatkan tempat dalam skuad.
“Sudah tentu kerana sasaran utama kita adalah untuk berada di kedudukan ke-120 dunia dan kemudian kedudukan ke-100 dunia pula. Jadi jika kita ingin realisasikan sasaran ini tanpa kerja keras pastinya sukar.
Mungkin ada pemain yang berasa tempat mereka dalam skuad sudah terjamin tapi bagi saya tidak benar kerana setiap pemain perlu beri komitmen tinggi dan bersaing secara sihat untuk berada dalam skuad.
Setiap sesi latihan dan perlawanan kami akan membuat penilaian terhadap setiap pemain, jadi saya harap mereka dapat bertahan dan tersenarai dalam skuad ke Piala Asia nanti. Jadi tiada siapa boleh berasa selesa di sini.”