Format Pestabola Merdeka kekal, Taijikistan dapat ‘bye’ ke final tunggu Malaysia atau India – FAM
Berikutan penarikan pasukan Palestin pada Pestabola Merdeka 2023, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa format kejohanan itu tidak akan berubah, dengan Taijikistan mendapat ‘bye’ ke perlawanan akhir.
Timbalan Presidennya, Datuk S. Sivasundaram berkata pihaknya baru menerima penarikan diri secara rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Palestin pada pukul 2 pagi tadi, dan FAM terpaksa membuat keputusan seperti itu.
“Untuk format Pestabola Merdeka tiada perubahan, Malaysia akan menentang India pada 13 Oktober manakala Taijikistan mendapat ‘bye’ dan akan menunggu di perlawanan akhir.
Kita tak boleh nak dapatkan pengganti disebabkan masa yang singkat kerana Palestin baru sahkan kepada kita pukul 2 pagi ini, mereka sebenarnya sudah berada di sempadan tetapi tak dapat keluar,”
katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, India dan Taijikistan sudah dimaklumkan dengan situasi itu dan bersetuju dengan perubahan tersebut.
Tambahnya, FAM tidak boleh mengubah format kepada ‘round robin’ disebabkan kekangan masa dan persiapan pasukan-pasukan yang beraksi.
“Kita sudah bincang dengan kedua-dua pasukan dan mereka dah setuju format yang kita kemukakan.
Mereka juga setuju tak dapat laksanakan format ‘round robin’ disebabkan kekangan masa dan juga persediaan pasukan itu sendiri.”
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata bahawa buat masa ini, masih tiada perancangan untuk mendapatkan lawan lain sekiranya Malaysia tewas menentang India disebabkan semua pasukan sudah mengatur perlawanan persahabatan masing-masing.
Justeru, beliau berharap Malaysia akan memenangi perlawanan pada Jumaat ini supaya layak ke perlawanan akhir, sekaligus bermain dua perlawanan pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA kali ini.