Tiada jumlah minimum pasukan Liga Super musim depan, yang penting kita nak elak isu gaji – Stuart Ramalingam

297

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam menyifatkan bahawa pihaknya tidak menetapkan jumlah minimun pasukan dalam saingan Liga Super musim depan.

Jelasnya, apa yang diberi keutamaan adalah kestabilan liga wujud dan memastikan isu-isu seperti tunggakan gaji yang sering berlaku dapat dielakkan.


“Tiada jumlah minimum yang kita tetapkan, tahun lepas pun kita ada 12 pasukan sebelum kita tambah jadi 14 pasukan, keutamaan kami adalah ketsabilan liga dan untuk pastikan isu yang tunggakan gaji yang seirng melanda dapat dielakkan.

Tahun lepas kita dah ambil langkah awal dengan mendenda dan tolak mata pasukan yang bermasalah, selain pada hujung musim kita terpaksa tak beri lesen kepada dua pasukan,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai proses perlesenan kelab untuk Liga Malaysia musim depan.

Katanya, ketika ini semua kelab telah menghantar dokumen yang diperlukan, dan kini pihak First Instance Body (FIB) sedang memeriksa semua dokumen yang dihantar.

Sementara itu, beliau berkata kejohanan dan format Liga Malaysia pada musim depan akan kekal sama, dengan kemungkinan Piala FA akan dimainkan secara timbal balik memandangkan jadual liga lebih panjang.

“Kita akan sambung format liga yang sama untuk pastikan kita ada kesinambungan dan tidak berubah setiap musim.

Dengan musim yang lebih panjang, mungkin kita akan saksikan format timbal balik dalam saingan Piala FA.”

Tambahnya, saingan Liga Perdana masih lagi tidak akan dimainkan musim depan berikutan pihaknya melihat tiada pasukan yang boleh mengisi saingan itu.

Katanya, keutamaan pada tahun depan adalah bekerjasama dengan pihak Amateur Football League (AFL) untuk melaksanakan lebih banyak pembangunan kelab untuk pastikan pasukan di Liga M3 berkaliber mengisi ruang dalam divisyen dua.