Harap dapat lihat Harimau Malaya beraksi di Piala Dunia, jadi juara Piala Asia – Safee Sali
Legenda bola sepak kebangsaan, Safee Sali berharap dapat melihat Malaysia beraksi di Piala Dunia dan menjadi juara Piala Asia satu hari nanti.
Katanya, Harimau Malaya kini berada dalam momentum dan motivasi yang baik, dan mereka harus terus mengekalkan perkara itu dan memperkuatkan lagi ikatan antara satu sama lain.
“Saya harap lepas ini kita akan jadi pasukan yang mampu beraksi di Piala Dunia, dan Piala Asia juga kita boleh jadi juara.
Sempena Pestabola Merdeka yang akan berlangsung ini juga saya harap peminat semua akan turun dan beri sokongan kepada Harimau Malaya, saya rasa ini adalah persiapan yang baik buat mereka menentang pasukan yang kuat,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana dokumentari ‘Sepuluh Safee Sali’.
Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa posisi penyerang tengah sebagai satu posisi yang menjadi masalah disebabkan kesukaran untuk pemain tempatan bersaing dengan pemain import.
“Sekarang saya lihat potensi ada pada Arif Aiman tetapi dia bukan penyerang tengah tulen, mungkin ada Darren Lok, ia sebenarnya masalah kita.
Saingan di bahagian serangan memang sengit dengan pemain import, pemain tempatan harus lebih kuat untuk saingi pemain import.”