Hannah Yeoh seru kelab golf di Malaysia beri akses kepada sekolah & golongan B-40
Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh menyeru kelab-kelab golf di Malaysia untuk memberi ruang dan peluang kepada pihak sekolah dan juga golongan B-40 untuk mendapat akses kepada sukan golf.
Menurut Hannah, tujuan utama beliau adalah untuk mencungkil lebih ramai lagi bakat-bakat muda dalam sukan golf yang sebelum ini sinonim dengan sukan bangsawan.
“Kita sudah ada ahli lembaga PPGS yang mana saya telah beri mandat kepada mereka adalah untuk pastikan aset yang kita ada, kita akan buka ruang kepada golongan B-40.
Saya juga menyeru kepada semua kelab-kelab di Malaysia untuk cari peluang dan buka ruang untuk golongan B-40, mungkin bukan 7 hari seminggu tetapi wujudkan slot khas di mana kita galakkan penglibatan golongan B-40, bagi kepada pihak sekolah,”
katanya.
Tambahnya lagi, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing kerana penglibatan dalam skala kecil tidak akan membuahkan hasil yang mampu memberi impak.
Perkara tersebut turut dipersetujui oleh Pengerusi Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel), YAM Tunku Tan Sri Imran yang berkata akses kepada fasiliti adalah kunci utama untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan golf.
“Saya rasa akses kepada fasiliti dalam apa sahaja sukan ada kunci. Negara mempunyai banyak padang golf dan pada waktu tertentu ia tidak kurang digunakan, jadi saya rasa waktu seperti itu mereka (pihak kelab golf) patut membenarkan kanak-kanak untuk dapat turun bermain dengan lebih kerap jika mereka sudah bermain atau untuk memperkenalkan sukan golf kepada mereka.”
Dalam pada itu, Hannah juga berkata pihaknya juga akan memohon kategori baru pelepasan cukai kepada pihak kerajaan, Kementerian Kewangan iaitu untuk memberi pemotongan cukai kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka berlatih.
“Harapan saya satu sahaja yang telah disampaikan kepada Kementerian kewangan iaitu saya mahu minta insentif kepada ibu bapa untuk terlibat sama.
Saya juga minta untuk diwujudkan kategori pengurangan cukai kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka berlatih sukan kerana ia akan menarik minat ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka untuk belajar sukan.
Pada masa sama ia juga akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada jurulatih serta dapat lahirkan bakat-bakat baru dalam sukan.”
Terdahulu, Hannah telah merasmikan Majlis Pelancaran U.S. Kids Golf Malaysia Local Tour 2023 yang akan berlangsung di seluruh negara iaitu di zon tengah, utara, selatan dan timur.