Raisuddin dan Shuib mahu realisasikan impian arwah Siti Sarah untuk jadikan Uwais pemain golf bertaraf dunia

305

Penyanyi veteran, Raisuddin Hamzah memberitahu beliau dan menantunya iaitu pelakon dan pelawak terkenal Shuib Sepahtu tekad untuk merealisasikan impiannya arwah anaknya Siti Sarah untuk jadikan anaknya itu seorang pemain golf bertaraf dunia satu hari nanti.

Untuk memastikan impian tersebut dapat dicapai, Raisuddin telah mengambil keputusan untuk cucunya memberi lebih fokus kepada berlatih golf.


“Arwah anak saya pesan kepada saya yang beliau mahu jadikan Uwais sebagai pemain golf bertaraf dunia. Jadi saya dan Shuib bersetuju untuk betul-betul mahu jadikan Uwais sebagai pemain golf profesional.

Jadi memandangkan kami mahu ke arah itu, jadi fokus pastinya lebih ke latihan di padang. Bagaimanapun kami akan beri fokus beberapa mata pelajaran iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains Sukan.

Kita bukan mahu jadikannya doktor atau jurutera tapi pemain golf. Jadi fokus Uwais 90% adalah golf,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Raisuddin, rutin harian cucunya adalah turun berlatih di driving range pada awal pagi, tengah hari di gimnasium dan pada waktu malam sekali lagi turun berlatih di driving range.

Dalam pada itu, beliau juga berkata Uwais tidak hanya kerap berlatih sahaja tetapi juga kerap menyertai pelbagai kejohanan.

Tambahnya lagi, apa yang membuatkan tugasnya lebih mudah adalah Uwais sendiri sememangnya bercita-cita mahu menjadi golf sebagai karier, oleh itu beliau akan sedaya upaya cuba membantu.

Sementara itu, Raisuddin juga yakin cucunya mampu mempamerkan aksi terbaik dalam kejohanan U.S. Kids Golf Malaysia Local Tour 2023 yang akan berlangsung bermula hujung Oktober ini hingga Disember depan.