JDT sangat fantastik, ini yang kami mahukan iaitu pengalaman dan realiti bola sepak – Coach Aeyh

301

Jurulatih pasukan Apuesto Bueno FC, Coach Aeyh melihat pembangunan bola sepak di Malaysia sangat bagus dengan adanya pasukan seperti Johor Darul Ta’zim dan NFDP yang bersaing dalam kejohanan Supermokh tahun ini.

Coach Aeyh menganggap kehadiran pasukan-pasukan yang kuat dalam kejohanan Supermokh 2023 menyebabkan mereka lebih bersemangat untuk menyertainya sekaligus dapat meraih pengalaman serta pendedahan di dalam padang.


“JDT sangat-sangat fantastik dan bukan sahaja mereka malah pasukan yang sebelum ini kami lawan juga bermain dengan sangat baik dan ini adalah apa yang kami mahukan iaitu pengalaman serta realiti bola sepak sebenar,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Meskipun tidak mempunyai masa yang banyak untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi kejohanan kali ini, Coach Aeyh menganggap Supermokh 2023 sebagai medan pembelajaran buat para pemain disamping tidak terlalu memikirkan tentang keputusan bagi setiap perlawanan.

“Bagi kami, pemain bermain dengan sangat baik berdasarkan kemampuan mereka walaupun atas sebab-sebab tertentu kami mengalami kekangan masa untuk membuat persiapan bagi kejohanan ini namun ia tetap satu pendedahan yang baik buat mereka,”

“Sebenarnya kami tidak terlalu memandang kepada skor dan keputusan tetapi apa yang penting adalah pendedahan yang dapat diberikan kepada pemain,”

Kekalahan 12-0 ke atas JDT bukan satu perkara yang besar buat pasukan mereka sebaliknya bagi Coach Aeyh dan ahli pasukannya mahu memandang terus kehadapan dalam merangka pelan untuk memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada pemain-pemainnya.

“Banyak bakat-bakat yang bagus dalam kalangan pemain ini sekarang apa yang kami perlu buat adalah fokus pada masa hadapan dan berikan mereka lebih banyak peluang serta pendedahan seperti kejohanan seperti ini.”