Pembangunan bola sepak Malaysia untuk masa hadapan terjamin dengan adanya fasiliti di AMD – Nur Ichwan
Jurulatih Asiop Football Academy, Nur Ichwan menegaskan bahawa Malaysia berpotensi melahirkan pemain-pemain berkualiti masa hadapan dengan adanya kemudahan fasiliti yang baik di Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
Ichwan yang sudah berpengalaman membawa pasukan Indonesia selama dua tahun ke Piala Supermokh, beliau melihat kemudahan serta fasiliti pembangunan yang ada di AMD sangat bagus untuk melahirkan pemain bagus masa hadapan.
“Malaysia memiliki potensi yang baik, saya sudah dua tahun di Supermokh dan saya melihat perkembangan yang sangat baik dalam bola sepak pembangunan Malaysia untuk masa hadapan disebabkan dengan adanya fasiliti yang bagus seperti di Akademi Mokhtar Dahari ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam temubual yang sama, Ichwan memberitahu pembangunan bola sepak akar umbi di Indonesia agak sukar untuk diperkembangkan atas sebab-sebab tertentu yang melibatkan populasi penduduk yang ramai.
Namun menurutnya lagi, disebabkan adanya kelab-kelab seperti Asiop, bakat muda bola sepak Indonesia masih dapat dilahirkan untuk kepanjangan masa hadapan.
“Di indonesia untuk peringkat perkembangan memang sangat intense apabila populasi di sana agak padat jadi banyak masalah-masalah yang timbul dan perlu diselesaikan secara perlahan-perlahan
“Tetapi sudah banyak juga kelab-kelab seperti Asiop Football Academy yang mempunyai fasiliti cukup untuk membangunkan pemain kini sudah berkembang di setiap daerah,”
Piala Supermokh yang menyajikan perlawanan-perlawanan berintensiti tinggi dan lawan yang bertubuh tinggi lampai sememangnya menjadi cabaran besar buat pemain-pemain di Asia.
“Saya sering berpesan kepada mereka untuk percaya kepada diri sendiri dengan kemampuan yang mereka miliki di samping mereka perlu tingkatkan aspek kecepatan dan kelincahan di atas padang.”