Analisis: Lima sebab mengapa Lee Zii Jia bertegas ingin tinggalkan BAM?

8,217

Mungkin banyak pihak ketika berteka-teki mengenai kenyataan dari pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia yang telah mengumkan perletakan jawatannya sebagai pemain negara dari BAM. Namun, ada beberapa kemungkinan dan alasan yang menyebabkan Zii Jia bertegas dengan keputusan untuk bergerak secara profesional.

  1. Zii Jia tetap dan masih akan mewakili negara

Walaupun Zii Jia selepas ini bergerak secara profesional, namun beliau bertegas masih akan mewakili negara dalam kejohanan-kejohanan besar jika diminta, bezanya hanya beliau bukan lagi di bawah naungan BAM. Beliau masih akan menjadi ‘hero’ negara dan bertanggungjawab untuk membuat lagu ‘Negaraku’ berkumandang di mana-mana kejohanan yang disertainya.


2. Elaun yang lebih lumayan

Memandang dari segi kewangan pula, dikatakan elaun Zii Jia sebagai pemain badminton negara hanyalah RM8,000 sebulan namun menurut sumber tertentu, jika beliau bergerak secara profesional, Zii Jia akan mendapat tajaan sebanyak RM4 juta setahun.

Ia adalah sebuah jumlah yang lumayan, mengukuhkan sebab untuk Zii Jia beralih ke arah itu. Dan siapa tahu, jika BAM menuntut pampasan ke atas tindakan Zii Jia kemungkinan ‘pihak’ tersebut juga bersedia untuk menyelesaikannya.

Sumber foto : Facebook BAM

3. Pilihan dan peluang yang lebih terbuka

Sebagai pemain yang masih muda dan mempunyai perjalanan yang cerah dalam sukan badminton ini, peluang masih terbuka luas untuk Zii Jia mengeksplorasi perjalanan kariernya dalam tempoh 2-3 tahun ini dengan bergerak secara profesional. Andai ini tidak sesuai dengan caranya, beliau masih boleh untuk berpatah semula bersama BAM jika kedua pihak menemui perbicaraan yang sepakat.

4. Kebebasan memilih jurulatih

Berbicara mengenai kebebasan pula, sebagai pemain profesional Zii Jia berpeluang untuk memilih berlatih di bawah bimbingan mana-mana jurulatih yang diinginkannya. Memandangkan prestasi beliau agak mendatar kebelakangan ini sejak memenangi Kejuaraan Seluruh England Mac tahun lalu, Zii Jia pastinya akan melakukan sesuatu bagi meningkatkan prestasinya. 

Siapa tahu mungkin Zii Jia ingin berlatih bersama kem Viktor Axelsen di Dubai memandangkan para pemain yang bersama kem yang diwujudkan pemain no 1 dunia itu memenangi beberapa kejohanan besar dan prestasi individu mereka semakin cemerlang sejak berada di sana. Malah, Axelsen yang terdahulu mengambil langkah yang sama, turut menyokong keputusan Zii Jia jika memang itu yang dirasakan terbaik untuk diri beliau. 

Antara pemain dunia yang berlatih bersama Axelsen di Dubai

5. Tidak mahu dibayangi Datuk Lee Chong Wei

Meskipun Zii Jia cukup menghormati Datuk Lee Chong Wei sebagai senior dan bekas pemain yang dianggap lagenda, jauh di sudut hati beliau pasti muncul rasa kecil hati kerana sering dibanding-bandingkan dengan Chong Wei. Mungkin saja Zii Jia terlalu letih dengan jangkaan pelbagai pihak yang berharap untuk beliau mengikuti jejak langkah Chong Wei sepenuhnya. Malah beliau pernah dikatakan tidak mempunyai mental yang kuat seperti seniornya itu, agak kasar untuk didengari.

Terdahulu, Zii Jia telah memenangi gelaran Juara Seluruh England buat kali pertama pada 2021 dan kini berada di ranking ke-7 dunia BWF. Zii Jia memasang impian untuk menjadi antara 3 pemain terbaik dunia menjelang hujung tahun ini. Harapan rakyat Malaysia pastinya mendoakan agar jalan yang dipilih Zii Jia ini akan membantu beliau untuk mencapai target tersebut.