Negeri yang berminat guna Zeon Zoysia perlu ada RM4.7 juta – Hannah Yeoh
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan kos yang perlu disediakan oleh mana-mana kerajaan negeri yang berminat untuk menukar rumput sedia ada di stadium milik mereka kepada Zeon Zoysia adalah kira-kira RM4.7 juta.
Katanya, KBS hanya menyediakan geran untuk menukar rumput sahaja manakala jumlah RM 4.7 juta itu adalah kos penyelenggaraan padang selama satu tahun serta pembelian mesin penyelenggaraan.
“Tanam rumput sahaja tak cukup, kena beli mesin juga untuk selanggara padang, jadi kerajaan negeri harus ada kira-kira RM4.7 juta untuk gunakan rumput Zeon Zoysia, tetapi mungkin juga lebih atau kurang bergantung kepada keadaan sedia ada padang di stadium tertentu.
Semua sedia maklum bahawa baru-baru ini terdapat enam negeri yang mengadakan PRN, dan mereka mahu lihat dahulu status dan kos penyelenggaraan sekiranya mahu menggunakan rumput Zeon Zoysia,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Perasmian Padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebentar tadi yang turut dihadiri Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberikan sumbangan penggantian rumput Zeon Zoysia.
Hannah berkata, TMJ kelihatan berpuas hati dengan hasil yang telah dilakukan itu dan memberi beberapa cadangan mengenai cara untuk menyelenggara padang itu.
Tambahnya, selepas ini pihaknya akan mendapatkan maklum balas daripada ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon dan skuad Harimau Malaya mengenai rumput baharu itu.
Sementara itu, beliau berkata bahawa KBS membuka SNBJ untuk kegunaan sekolah-sekolah yang berminat untuk mengadakan aktiviti sukan.
“Perbadanan Stadium Malaysia sudah membuat keputusan untuk membuka SNBJ kepada sekolah-sekolah yang berminat untuk menganjurkan acara sukan bagi menyahut inisiatif KBS dalam merakyatkan sukan.
Buat masa ini kita hanya buka kawasan trek sahaja untuk olahraga, pada Isnin sehingga Jumaat ketika tiada acara lain dijalankan di stadium.”
Jelasnya, pihak sekolah yang berminat untuk menganjurkan acara sukan boleh membuat tempahan.