Proses tambah baik SNBJ masih berjalan, ‘benchmark’ adalah seperti SSI – Mohd Faidz Sanusi

268

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi menyifatkan bahawa pihaknya menjadi Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai penanda aras buat Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dan sedang berusaha untuk mencapai standard yang diletakkan oleh stadium milik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

Katanya, PSM ada berkomunikasi dengan skuad bola sepak kebangsaan mengenai apa yang diperlukan, dan pihaknya kini sedang membuat penambahbaikan bagi mencapai kehendak Harimau Malaya.


“Kita sudah dapat maklum balas daripada ketua jurulatih mengenai keperluan mereka sebagai pemegang taruh, dan mereka mahukan fasiliti seperti di SSI dari segi bilik persalinan, gim, ruang untuk pemain ‘cool down’ selepas perlawanan.

Sekarang ini kita sedang dalam proses tambah baik lagi fasiliti yang ada, penanda aras PSM untuk SNBJ adalah seperti SSI,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang kini menggunakan rumput Zeon Zoysia.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa acara hiburan seperti konsert adalah salah satu daripada cara stadium untuk menjana pendapatan, justeru ia akan terus diadakan tetapi memberi jaminan bahawa PSM akan mengutamakan acara sukan.

“Prioriti PSM adalah kepada acara sukan dan FAM sendiri adalah salah satu pemegang taruh kami, tetapi acara hiburan juga adalah salah satu daripada pencapatan kami kerana kami tidak boleh mengharapkan 100 peratus geran Kerajaan.”

Tambahnya, PSM sebelum ini sudah melakukan perbincangan dengan pihak FAM mengenai jadual penggunaan stadium bagi memastikan perlawanan bola sepak tidak akan bercanggah dengan acara hiburan.