Juan Torres Garrido sudah ada perancangan untuk kem latihan pusat Harimau Muda pada November depan

664

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-23 yang baharu, Juan Torres Garrido memberitahu beliau sudah pun mempunyai perancangan awal iaitu akan mengadakan kem latihan pusat skuad Harimau Muda pada bulan November nanti.

Menurut Garrido, kem latihan tersebut akan dibuat sebagai salah satu persiapan awal bagi menghadapi kejohanan Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung di Qatar nanti.


“Ya kami sudah pun mula bekerja dan memandangkan kita berjaya layak ke Piala Asia B-23 tahun hadapan, saya sudah rancang untuk mengadakan kem latihan pusat pada bulan November ini.

Kami juga akan membuat persiapan rapi dari semua aspek bagi memastikan kami berada dalam keadaan terbaik sebelum kejohanan,”

katanya.

Garrido berkata demikian selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan beliau sebagai pengendali baru bagi menggantikan E. Elavarasan yang meletak jawatan baru-baru ini.

Selain pengumuman pelantikan ketua jurulatih, FAM turut mengumumkan pelantikan ketua jurulatih yang baharu iaitu bekas kapten Harimau Malaya iaitu Shukor Adan.

Sedikit latar belakang Garrido sebelum menyertai FAM, beliau merupakan Ketua Pencari Bakat bagi FC Barcelona untuk kawasan Catalunya dari 2016 hingga 2020, sebelum beliau menjadi Ketua Bola Sepak Remaja Profesional (B-23) bagi kelab Granada CF di Sepanyol dari 2021 hingga 2022.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram pula berkata buat masa ini pihak FAM masih lagi belum menetapkan KPI (petunjuk prestasi utama) buat Garrido lagi kerana masih terlalu awal.

“Buat masa ini tiada KPI ditetapkan kepada Garrido tapi beliau perlu buat yang terbaik untuk skuad negara.”

Sivasundaram turut memberitahu bahawa pihaknya telah menemuduga sebanyak empat jurulatih tempatan untuk jawatan penolong ketua jurulatih iaitu Nidzam Jamil, Shukor Adan, Rusdi Suparman dan Akmal Rizal dan akhirnya mereka telah mengambil keputusan untuk melantik Shukor kerana menepati kriteria yang dikehendaki.