Saya tak gembira dapat ke final dengan cara ini tapi impian saya mahu menang sekali Pestabola Merdeka – Petar Segrt
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Tajikistan, Petar Segrt mengakui tidak gembira dengan cara mereka mara ke perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023, tapi beliau pasang impian untuk julang trofi itu kali ini.
Segrt berkata demikian selepas pasukannya mendapat ‘bye’ berikutan penarikkan diri pasukan Palestin dek konflik yang sedang melanda negara itu ketika ini.
“Saya tidak kisah akan bertemu pasukan mana di final nanti, India atau Malaysia tiada masalah bagi kami.
Impian saya dan pasukan saya mahu menang sekali Pestabola Merdeka! Sekarang kami sudah layak ke final. Saya tak gembira dapat ke final dengan cara ini kerana kami tidak boleh berbuat apa-apa dengan situasi ini dan harus terima yang kami hanya dapat bermain satu perlawanan sahaja,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tajikistan akan menanti pemenang perlawanan di antara tuan rumah Malaysia dan India yang akan berlangsung esok di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Dalam pada itu, Segrt turut memberitahu bahawa pada kejohanan ini beliau hanya membawa pemain muda kerana pemain utama lain sibuk dengan kejohanan AFC Champions League (ACL) dan Piala AFC.
Beliau bagaimanapun tidak terkilan dengan perkara tersebut, sebaliknya berkata ia akan memberi peluang kepada pemain muda mereka untuk mendapat pendedahan dan pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.
“14 pemain utama tidak berada dalam skuad kerana pihak kelab pemain minta ‘tolong’ kerana mereka kini sedang beraksi dalam kejohanan ACL dan Piala AFC.
Tajikistan adalah sebuah negara yang kecil seperti Croatia, jadi kami akan sentiasa cuba membantu antara satu sama lain, jadi kami bawa skuad muda ke kejohanan ini.
Purata umur pemain kami adalah 21.1 tahun sekaligus menjadikan skuad utama termuda Tajikistan.”
Beliau pada masa turut mendedahkan bahawa penjaring terbanyak pasukan Manuchekhr Dzhalilov turut tidak dapat bersama pasukan kerana sedang berjuang dengan penyakit kanser yang dihadapinya.
Sementara itu, disebalik pelbagai kekangan yang dihadapi pasukannya, beliau tetap yakin dengan kemampuan anak buahnya.
“Kami tidak takut untuk berdepan mana-mana pasukan termasuk India dan Malaysia kerana bagi kami dalam bola sepak jika anda takut, anda tidak akan ada peluang jadi lebih baik duduk rumah saja.”