Semua tahu situasi sukar Palestin ketika ini, jadi fokus kita kini adalah final Piala Merdeka – Amirbek Juraboev
Pemain pasukan kebangsaan Tajikistan, Amirbek Juraboev terpaksa akur apabila perlawanan menentang Palestin dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2023 terpaksa dibatalkan selepas pasukan lawan menarik diri dek konflik yang sedang melanda di negara itu.
Susulan itu, Tajikistan secara automatik telah mendapat ‘bye’ dan kini akan menunggu pemenang di antara pasukan tuan rumah Malaysia dan India yang akan berlangsung esok di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
“Ya kita semua sedia maklum dengan situasi Palestin yang mana ia merupakan waktu yang cukup sukar untuk mereka jadi kita terpaksa akur dan kami akan buat persiapan untuk perlawanan akhir menentang samada India atau pun Malaysia,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Amirbek, skuad Tajikistan untuk kejohanan Pestabola Merdeka kali ini bukan skuad yang sama ketika di King’s Cup Thailand sebelum ini kerana ramai pemain utama tidak dapat bersama pasukan dek tugasan bersama kelab yang beraksi di AFC Champions League (ACL).
Beliau bagaimanapun berkata kehadiran ramai pemain muda juga bagus untuk pasukan kerana walaupun mereka muda, namun mereka mempunyai kualiti tersendiri.
“Skuad kali ini banyak pemain muda kerana separuh pemain utama yang beraksi bersama Istikol FC tidak dapat bersama pasukan kerana bermain di ACL, oleh sebab itu mereka tidak dapat lepaskan pemain ke pasukan kebangsaan.
Tapi ia tidak bermakna kami tempang, sebaliknya kami akan buat yang terbaik untuk menjulang trofi.”
Pada kejohanan ini Tajikistan mempunyai purata usia pemain termuda iaitu 21.1 tahun dengan pemain termuda yang berada dalam skuad baru berusia 16 tahun.
Pemain yang beraksi bersama pasukan Kedah Darul Aman FC di Liga Super Malaysia juga berkata ketiadaan ramai pemain utama juga memberi kebaikan kepada pemain-pemain muda yang berpeluang untuk mendapat pendedahan dan pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, pemain berusia 27 tahun itu juga sedia membantu ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan Tajikistan bagi memberi input mengenai corak permainan pasukan Malaysia sekiranya mereka akan bertemu pasukan itu di final nanti.
Ini kerana beliau yang sudah beraksi dalam saingan Liga Super sudah sedia maklum dengan corak permainan pemain-pemain Harimau Malaya.