Separuh kedua liga ini saya tidak mahu ada kekalahan langsung – Fatin Alissa Qistyna

182

Ketua pasukan bola sepak wanita Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), Fatin Alissa Qistyna komited mahu memastikan pasukannya mengelak daripada menerima sebarang kekalahan di pusingan kedua Liga Wanita Nasional 2023.

Fatin yang ditemui tekad mahu membalas semula kekalahan yang dialami dalam pusingan pertama dahulu menentang Sabah dan Malaysian University selain ingin memastikan merebut tiga mata penuh bagi setiap perlawanan.


“Saya masih tidak berpuas hati dengan keputusan semasa separuh pertama liga disebabkan kami ada mengalami kekalahan dan saya harap untuk separuh kedua ini saya tidak mahu ada kalah langsung,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain itu, SSMP merupakan pasukan yang memiliki pemain-pemain muda jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing lain dan bagi Fatin sendiri beliau tidak menganggap ini sebagai satu masalah sebaliknya lebih ke arah peluang untuk menjadi pemain lebih baik.

“Kebanyakan pemain-pemain yang kami jumpa di LWN semuanya berpengalaman macam Intan Serah, Steffi dan tipu kalau saya cakap tidak gugup,”

“Namun dalam masa yang sama teruja untuk bermain dengan mereka kerana dahulu saya sangat kagumi mereka dan kini saya mahu buktikan boleh bermain setaraf mereka,”

Beliau yang pernah mewakili skuad B-19 tahun negara dahulu meluahkan bahawa mahu melihat bola sepak wanita dipandang tinggi dan tidak lagi menjadi kecaman orang ramai tatkala mereka gagal di suatu tahap.

“Bola sepak wanita ini meskipun sudah ramai yang kenal namun apabila kami kalah ada sahaja yang kecam jadi kami mahu berusaha untuk buktikan walaupun nanti sudah berjaya kami akan pastikan selepas ini tiada lagi kecaman,”

LWN 2023 bakal bersambung kembali yang menyaksikan SSMP bakal menerima kunjungan pasukan Sabah pada Sabtu nanti dan Fatin melihat dengan harapan yang jurulatih sandarkan untuk menjuarai kejohanan musim ini beliau dan rakan-rakan perlu meningkatkan lagi mutu permainan pasukan mereka.

“Pada saya untuk diri sendiri perlu baiki lagi aspek pertahanan termasuk ahli pasukan saya juga perlu lakukan perubahan untuk memastikan harapan para jurulatih dapat kami balas dengan kejayaan.”