Tiga ke empat orang pertahanan halang Sa’ap namun tetap terlepas juga – Hafiz Zainal

728

Johor Darul Ta’zim B-12 tahun berjaya melangkah masuk ke perlawanan akhir Piala Supermokh 2023 selepas menumpaskan pasukan Zhejiyang Professional FC dari China 2-1 dengan dua gol dijaringkan oleh pemain baru mereka iaitu Sa’ap Baharom.

Menurut Hafiz Zainal selaku jurulatih melihat prestasi Sa’ap sememangnya sangat menakjubkan meskipun diapit benteng pertahanan yang saiznya lebih besar namun beliau berjaya membawa pasukannya ke pentas akhir.


“Jika dilihat dalam perlawanan hari ini pemain China memang 3 hingga 4 orang yang mengawal dia (Sa’ap) namun tetap lepas,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Hafiz turut memberitahu bahawa Sa’ap sendiri bukan seorang yang extrovert dan lebih kepada menyendiri namun di JDT, jurulatih yang banyak membina pemain-pemain sebegini untuk mereka berkembang serta bergaul untuk cipta komunikasi antara pasukan.

Selain itu juga, barisan kejurulatihan juga memuji Sa’ap yang mana biarpun tidak banyak mengekuarkan suara namun ketika di atas padang beliau mempunyai naluri serta bakat semula jadi sebagai pemain bola sepak dalam mengetahui posisi terbaik untuk mencetak gol.

“Sa’ap ini seorang yang pendiam jika dibandingkan dengan pemain lain tetapi apabila di luar padang saya banyak membantunya untuk berkomunikasi dalam pasukan seperti memintanya membaca doa makan, mengira pemain yang sudah hadir latihan dan banyak lagi untuk memastikan beliau berbual dan bercakap,”

“Di atas padang pula, walaupun seorang pendiam namun dia mempunyai kefahaman sedikit tentang bola sepak seperti sedar bila masa untuk buat larian, mencari ruang untuk buat jaringan dan saya boleh puji skil individunya memang tip top!”

Sa’ap yang ditemui selepas perlawanan memberitahu bahawa dia sangat gembira terpilih bermain bersama pasukan JDT dan teruja apabila dapat berlatih dibawah kendalian Hafiz Zainal.

“Saya sangat gembira dapat sertai JDT dan turut berterima kasih kepada coach Hafiz kerana mengambil saya,”

Pemain muda asal Gua Musang, Kelantan yang sebelum ini menjadi fenomena di media sosial itu turut menyatakan perbezaan yang ketara dirasai apabila terlibat dengan latihan serta corak permainan yang berlainan jika dibandingkan semasa bermain mewakili negerinya.

“Banyak perbezaan di JDT antaranya adalah corak permainan mereka dan juga latihan,”

Sa’ap yang kini bermain bersama skuad B-12 tahun JDT menyatakan hasratnya untuk berlatih dan mempamerkan aksi yang bersungguh-sungguh agar dapat merealisasikan impiannya untuk bermain bersama skuad kebangsaan suatu hari nanti.