Azri Ghani akui berdepan saingan hebat rebut kesebelasan utama

495

Penjaga gol baru KL City FC, Azri Ghani mengakui bakal berdepan saingan hebat untuk merebut posisi no.1 daripada Kevin Ray Mendoza.

“Tahun pertama saya di sini saya pasti akan bergelut sedikit kerana Kevin (penjaga gol utama) ada, jadi untuk musim ini saya akan cuba belajar sebanyak yang mungkin dari beliau.

Tak dapat dinafikan pemain import (Kevin) pasti akan menjadi keutamaan tetapi saya akan cuba beri saingan untuk dapatkan kepercayaan jurulatih,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Azri yakin akan mendapat peluang beraksi kerana pada musim ini adalah musim yang padat buat pasukan KL berikutan saingan Liga Malaysia (Liga Super, Piala FA & Piala Malaysia) dan juga Piala AFC.


“Musim ini KL akan mempunyai banyak perlawanan memandangkan kami akan bermain di Piala AFC, jadi saya rasa jurulatih akan membuat penggiliran pemain bagi memastikan pemain sentiasa berada pada tahap terbaik.”

Sumber foto: KL City FC

Dalam pada itu, Azri yang ditanya mengenai trend pasukan di Liga Malaysia kini mula mengambil penjaga gol import, pemain skuad kebangsaan B-23 tahun ini mengakui ada baik dan buruknya.

Azri tidak menyangkal kehadiran penjaga gol import akan menjejaskan penjaga gol tempatan kerana mereka akan kurang dapat minit permainan tetapi ia sepatutnya tidak boleh dijadikan alasan, sebaliknya pemain itu perlu lebih bekerja keras untuk merebut tempat.

Sementara itu, pemain berusia 22 tahun itu mengakui sememangnya beliau sememangnya mahu berhijrah ke pasukan KL sejak bulan Mac tahun lalu berikutan masalah tunggakan gaji ketika bersama Perak.

“Sebenarnya saya nak pindah dari bulan 3 lagi sebab isu gaji, tapi bila Perak langsaikan tunggakan gaji saya kekal dahulu. Tetapi selepas habis saingan liga saya dapat tawaran dari KL terus saya terima kerana saya memang mahu main dengan KL sejak saya keluar dari Kedah tetapi ketika itu rezeki saya di Perak, namun akhirnya saya dapat juga sertai KL.”

Azri yang menandatangani kontrak selama dua tahun berazam mahu membantu pasukan yang diberi jolokan The City Boys untuk menjadi pencabar utama kepada pasukan-pasukan besar di Liga Super selain bantu pasukan capai keputusan positif di saingan Piala AFC.