Beri mereka sedikit masa lagi dan kita tidak boleh tergesa-gesa – YB Adam Adli
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Adam Adli memaklumkan Perbadanan Stadium Malaysia memberi jaminan bahawa segala masalah berkaitan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil akan selesai sepenuhnya menjelang Kelayakan Piala Dunia November ini.
Adam yang ditemui turut memberi reaksi bahawa beliau terkejut melihat keadaan padang yang masih belum matang semalam dan menurutnya juga PSM kini sedang giat meneliti masalah berkenaan di samping memberi jaminan bakal selesai menjelang bulan hadapan.
“PSM juga memberi jaminan bahawa menjelang kelayakan Piala Dunia nanti semuanya akan baik-baik sahaja dan beri mereka sedikit masa lagi kerana kita tidak boleh tergesa-gesa untuk selesaikan masalah ini,”
katanya.
Selain itu juga, Adam turut memberitahu bahawa masalah ini sudah dikenal pasti sejak di peringkat awal pemasangan tersebut apabila pencahayaan untuk disalurkan kepada rumput tidak cukup terutama di sebelah penjuru stadium.
Kini PSM dikatakan sedang mencuba beberapa kaedah untuk memastikan masalah tersebut dan akan diperjelaskan dengan lebih lajut dalam beberapa hari lagi bagi memastikan semua orang tahu keadaan sebenar isu di SNBJ.
“Sebelum ini kita sudah kenal pasti ada masalah dengan pencahayaan terutama di bahagian penjuru, jadi malam tadi memang kita semua dapat lihat,”
“Pihak perbadanan stadium juga akan ambil tanggungjawab ini dengan menyediakan artificial light misalnya dan kita tunggu penjelasan sepenuhnya yang akan dibuat oleh pihak mereka nanti,”
Beliau yang ditemui semasa majlis makan malam penutupan Piala Supermokh 2023 turut menyifatkan keterujaannya melihat pemain-pemain muda negara yang beraksi cemerlang di kejohanan tersebut.
Menurut Adam beliau sangat gembira apabila mendengar beberapa pemain muda negara bakal menyertai latihan bersama kelab akademi Jepun iaitu Shonan Bellmare.
“Tadi apabila saya berbincang dengan barisan kejurulatihan, kita dapat tahu beberapa orang prospek masa hadapan negara akan beraksi di Jepun iaitu pasukan Shonan Bellmare dan kita mahu melihat lebih banyak lagi pemain kita beraksi di luar negara selepas ini,”
Adam turut menjelaskan bahawa beliau telah berbincang dengan Majlis Sukan Negara untuk memperbanyakkan lagi kejohanan-kejohanan seperti Supermokh memandangkan ia tidak menelan belanja yang tinggi namun banyak memberikan manfaat buat pembangunan bola sepak dan ekonomi negara.