Orang kata KPG okay, tapi saya mahukan lebih lagi dari dia – Hamidin Mohd Amin

1,150

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan tiada mana-mana jurulatih di FAM yang boleh merasa selesa dengan kedudukan mereka walaupun pasukan yang dikendalikan sedang berada dalam prestasi yang baik.

Katanya, FAM kini sedang giat melakukan perubahan untuk ke arah yang lebih baik, justeru semua pihak harus memberi komitmen yang tinggi untuk merealisasikan perkara itu.


“Kita tak boleh berada di tahap 30, 40 tahun sebelum ini, kita mahukan perubahan dan ini memerlukan individu yang ada pengetahuan serta komitmen yang tinggi.

Contohnya macam KPG (Kim Pan-gon), orang kata dia okay, memang dia boleh bawa tetapi saya mahukan lebih lagi daripadanya, KPI saya memang tinggi tak kiralah sesiapa pun sama ada penolong jurulatih, dan skuad wanita atau futsal sekalipun,”

katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi komen tentang pelantikan ketua jurulatih skuad B-23 baharu iaitu Juan Torres Garrido dengan mengatakan bahawa jurulatih itu dirasakan terbaik buat masa ini kerana sudah biasa dengan sistem pasukan.

Beliau berharap, skuad B-23 di bawah kendalian jurulatih yang berasal dari Sepanyol itu akan mengikuti kecemerlangan yang ditunjukkan skuad senior.

“Jawatankuasa teknikal sudah buat pilihan dan untuk ketika ini kita fikirkan beliau adalah yang terbaik, beliau pun sudah berada dalam sistem B-23 sebelum ini, jadi kita harus lihat prestasinya dahulu.

Kalau kita lantik Mourinho sekalipun mungkin dia tak boleh berjaya, sebelum ini sudah banyak contoh, kalau kita letak sesiapan pun kita tak tahu sama ada dia boleh berjaya atau tak.”

Hamidin turut memberi pandangan tentang skuad futsal negara yang tidak layak ke Piala Asia tahun depas selepas tersingkir pada pusingan kelayakan baru-baru ini.

Beliau berkata, jurulatih pasukan futsal negara, Rakphol Sainetngam adalah masih baharu dan beliau menganggap pasukan sudah menunjukkan prestasi yang baik pada pusingan kelayakan itu dengan hanya kalah tipis kepada jaguh Asia seperti Iraq dan Uzbekistan.