Kita sepatutnya berada di ranking yang lebih tinggi – Stuart Wilkin
Pemain tengah kebangsaan, Stuart Wilkin merasakan bahawa Malaysia sepatutnya berada di kedudukan lebih tinggi daripada sekarang dalam ranking FIFA.
Beliau berkata, perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 menentang Taijikistan yang berada di ranking ke-110 pada Selasa ini adalah medan terbaik untuk membuktikan perkara itu, selepas berjaya menumpaskan India yang berada di ranking 102 Jumaat lalu.
“Semua pemain sukakan cabaran dan menentang pasukan yang berada di ranking lebih tinggi saya percaya kami akan menjadi lebih baik.
Kami percaya kami sepatutnya berada di ranking yang lebih tinggi dan kita mahu buktikan itu pada perlawanan akhir nanti,”
katanya.
Beliau berkata, persediaan pasukan untuk perlawanan itu berada dalam keadaan baik dan mereka akan turun dengan yakin apabila menentang Taijikistan nanti.
Tambahnya, beliau mahu mencatatkan kemenangan untuk membalas dendam bagi perlawanan sebelum ini di King’s Cup dan mahu menghadiahkan piala tersebut kepada semua penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan itu nanti.
“Pada perlawanan sebelum ini kita seri dengan mereka dan tewas pada penentuan sepakan penalti, jadi sudah tentu mahu balas dendam kali ini.
Saya jangkakan ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar tetapi kita mahu menang piala ini demi penyokong yang hadir nanti.”
Beliau gembira apabila Malaysia kembali bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil dan yakin mempunyai kelebihan apabila beraksi di gelanggang itu.