Kanser paru-paru saya dah di tahap empat, setakat ini doktor suruh saya banyak bersabar – Khalid Ali
Legenda bola sepak negara, Khalid Ali mendedahkan dirinya kini menghidap kanser paru-paru tahap empat dan sedang melakukan rawatan lanjut.
Khalid, 66, berkata kanser yang dialaminya itu juga sudah merebak hingga ke kepala dan beliau sudah dan sedang melakukan rawatan kemoterapi dan radioterapi.
“Dari bulan Mac saya disahkan menghidap kanser dan sekarang sudah di tahap empat, apa yang saya buat sekarang adalah kemoterapi, radioterapi, CT scan dan juga brain scan.
Saya dah tiga kali buat radioterapi dan Alhamdulillah saya rasa tenang, minggu depan akan buat brain scam untuk periksa keadaan, dan mungkin minggu depan saya mula buat radioterapi selama 33 kali 30 hari,”
katanya.
Beliau bersyukur ramai yang memberikan sokongan kepadanya dan mendoakan dirinya termasuk keluarga, rakan-rakan dan peminat.
Tambahnya, buat masa ini, doktor yang merawatnya tidak memberitahu apa-apa mengenai keputusan rawatan dan sentiasa berpesan kepadanya untuk bersabar dan terus menjalani rawatan.
“Apa yang doktor pesan adalah untuk rehat dan banyakkan bersabar serta teruskan rawatan, dia tak beritahu akan pulih dalam masa terdekat kerana proses itu adalah lama.
InsyaAllah dengan sedikit kekuatan yang saya ada kemungkinan akan ada perubahan kelak.”
Khalid berkata, penyakit yang dialaminya itu membuatkan beliau berasa lemah dan tiada selera makan.
Selain itu, beliau juga mempunyai kesukaran untuk tidur dan sentiasa terjaga sehingga tujuh kali pada setiap malam.
Khalid merupakan bekas pemain kebangsaan yang berkhidmat untuk negara sejak 1977 hingga 1985, pernah beraksi sebagai pertahanan dan pemain tengah.