Kenapa jurulatih Taijikistan sudah menangis sebelum perlawanan bermula? – Kim Pan-gon
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menganggap rakan sejawatnya di Taijikistan, Petar Segrt sengaja mencipta alasan dengan menyatakan bahawa mereka hadir ke Pestabola Merdeka 2023 tanpa 15 pemain utama.
Katanya, seorang ketua haruslah mempunyai kepercayaan dan keyakinan terhadap anak-anak buahnya, dan tidak mencari alasan sebelum berjuang di atas padang.
“Kenapa dia (Petar Segrt) menangis sebelum perlawanan bermula? Itu adalah satu sikap yang tidak baik, sebelum perlawanan bermula sudah beri alasan.
Bagi saya, sebagai seorang ketua saya tidak pernah akan cakap sebegitu, saya mempercayai semua pemain-pemain, dan apa saja pemain yang saya ada adalah yang terbaik,”
katanya.
Beliau berkata demikian bagi membalas kenyataan Segrt yang menyatakan bahawa beliau tidak dapat membawa pasukan terkuat kerana terdapat kelab yang tidak melepaskan pemain.
Sementara itu, Pan-gon berkata beliau ada memperbaiki beberapa aspek daripada perlawanan menentang India tempoh hari seperti di bahagian pertahanan.
“Di bahagian pertahanan masa adalah sangat penting, apabila bemain dengan pasukan yang kuat, lewat satu saat sahaja boleh menyebabkan pihak lawan ambil kesempatan.
Contohnya apabila menentang India, apabila kita beri peluang kepada mereka, mereka boleh jaringkan gol. Sekarang kita sudah mula bermain dengan pasukan di ranking yang lebih tinggi dan akan datang mungkin akan lawan pasukan yang lebih kuat, jadi kita harus belajar sesuatu daripada perlawanan seperti ini.”
Pan-gon berkata, perlawanan esok adalah berbeza daripada kejohanan King’s Cup tahun lalu yang menyaksikan Malaysia tewas menerusi penentuan sepakan penalti, dan tekad mahu memastikan trofi Pestabola Merdeka kekal di bumi Malaysia.