Dalam dua tiga bulan nanti anda akan lihat SNBJ setanding dengan padang Piala Dunia – Hans Isaac
Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac memberi jaminan bahawa orang ramai akan melihat kualiti padang Piala Dunia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dalam dua atau tiga bulan lagi.
Beliau sedar kualiti di padang SNBJ tidak seperti yang diharapkan ketika menentang India tempoh hari, namun ia adalah disebabkan tempoh masa yang tidak cukup untuk rumput matang.
“Setiap stadium di dunia ini perlukan 12 bulan tetapi malangnya kita hanya ada lapan bulan saja kerana Pestabola Merdeka, saya dah maklumkan kepada FAM jangan guna SNBJ tetapi mereka nak juga kerana mereka rasa SNBJ adalah stadium untuk Harimau Malaya dan boleh dapatkan penonton paling ramai.
Tapi dalam dua tiga bulan nanti anda akan lihat satu padang berkelas dunia setanding dengan padang Piala Dunia,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Katanya, padang tersebut akan tersedia dan menjadi lebih baik menjelang Kelayakan Piala Dunia 2026 pada November nanti.
Sementara itu, beliau berkata kerosakan yang berlaku di padang SNBJ pada tempoh hari tidak menelan kerugian langsung seperti yang difikirkan oleh orang ramai.
“Memang betul padang tidak mencapai standard ketika menentang India tempoh hari, dan ramai orang kata membazir duit saja tetapi tiada satu sen pun tambahan untuk buat semula padang itu.
Bagi peluang kepada PSM untuk selesaikan isu ini, bagi peluang kepada konsultan yang telah dilantik, kerana mereka juga adalah syarikat sama yang buat padang JDT dan ia telah terbukti, kami akan buat padang SNBJ seperti tahap Stadium Sultan Ibrahim.”
Hans Isaac berkata beliau sedar ada pihak yang mempersoalkan pelantikannya sebagai pengerusi PSM, namun beliau yakin mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan itu.
Katanya, sejak dilantik sebagai pengerusi PSM, beliau meletakkan sepenuh usaha bagi melaksanakan tanggungjawab itu, dan berada di stadium setiap hari bagi memastikan segalanya berada dalam keadaan baik.