VAR sudah! Mungkin teknologi garisan gol pula selepas ini?
Peminat bola sepak Malaysia teruja apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) telah mengesahkan bahawa saingan Liga Super Malaysia akan menggunakan teknologi VAR (video bantuan pengadil).
Insiaitif untuk menggunakan VAR dalam saingan liga domestik mendapat maklum balas yang cukup positif dari kalangan peminat dan juga kelab-kelab yang bersaing kerana ia dapat mengelak atau kurangkan isu berkaitan dengan mutu pengadilan pengadil.
Penggunaan VAR ini secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti saingan liga domestik dan akan menjadikan Malaysia sebagai salah satu liga terbaik di rantau Asia Tenggara.
Namun baru-baru ini teknologi garisan gol pula menjadi bahan bualan peminat berikutan insiden yang berlaku pada perlawanan Pestabola Merdeka 2023 di antara Malaysia dan India di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Selain isu padang yang ‘koyak’, insiden yang menjadi perbualan adalah gol ketiga India yang tidak diberikan walaupun pemain lawan mendakwa bola sudah pun melepasi garisan gol.
Ketua pasukan India, Sunil Chhetri ketika temubual selepas tamat perlawanan mengakui bahawa beliau yang berada dekat dengan gawang melihat sendiri bola tersebut sudah masuk ke dalam gawang tetapi berikutan pembantu pengadil tidak dapat melihat dengan jelas situasi tersebut menyebabkan gol tersebut tidak dapat diberikan.
Jika gol tersebut dikira, keputusan perlawanan itu mungkin berakhir dengan keputusan yang berbeza.
Selain gol ketiga yang tidak dikira, India sekali lagi dinafikan apabila rembatan padu terkena tiang gol dikatakan bola sudah masuk tetapi keluar balik.
India bagaimanapun terpaksa akur dengan keputusan mereka tewas 4-2 sekaligus pulang awal dan Malaysia berjaya mara ke perlawanan akhir Pestabola Merdeka yang akan berlangsung hari ini (17 Oktober).
Dengan pengelola liga MFL komited dalam meningkatkan kualiti saingan liga domestik, mungkin teknologi garisan gol atau lebih dikenali sebagai GLT pula akan diperkenalkan selepas ini dengan harapan insiden-insiden seperti bola sudah masuk ke gawang dapat disahkan benar-benar melepasi garisan gol atau tidak.
Bagi peminat yang belum tahu dengan lebih lanjut mengenai teknologi ini, ia ada alat bantuan elektronik yang akan menentukan samada gol telah dijaringkan atau tidak yang mana ia adalah kaedah untuk tentukan bila bola benar-benar melintasi garisan gol dan di bawah palang gol dengan bantuan elektronik.
Pada masa sama ia akan membantu pengadil untuk mengesahkan ianya gol atau tidak dan teknologi ini diperkenalkan bukan untuk menggantikan peranan pembantu pengadil sebaliknya untuk menyokong mereka dalam membuat keputusan.
GLT akan memberi petunjuk jelas adakah bola telah melintasi garisan sepenuhnya dan maklumat ini akan bantu pengadil untuk buat keputusan terakhirnya.
Teknologi ini sudah pun digunakan dalam saingan liga domestik di Eropah, Piala Dunia dan kejohanan antarabangsa utama lain.
Bagaimanapun pengadil akan tahu samada gol atau tidak? Pengadil yang bertugas akan memakai jam tangan yang akan menghantar maklumat dalam tempoh satu saat sahaja bagi memastikan pengadil dapat membuat keputusan dengan pantas.
Tidak hanya pengadil sahaja yang mendapat maklumat itu, data daripada kamera yang digunakan untuk membuat animasi 3D untuk menvisualkan keputusan itu kepada peminat di televisyen dan juga skrin gergasi di dalam stadium.
Apabila bercakap mengenai penggunaan teknologi baru, maka perkara utama yang akan menjadi persoalan adalah berapa kos yang diperlukan untuk menggunakan GLT ini.
Ya tidak dapat dinafikan kos untuk menggunakan GLT boleh dikatakan sangat tinggi kerana ia mungkin akan menelan kos sekitar RM1.2 juta hingga lebih RM1.5 juta.
Mustahil untuk direalisasikan? Tidak juga kerana sekiranya nilai komersial Liga Super lebih tinggi dan kelab-kelab tidak mempunyai masalah kewangan seperti yang berlaku ketika ini, rasanya tiada masalah untuk pengelola liga untuk memperkenalkan teknologi ini.
Apa pun, kita tunggu dan lihat dahulu bagaimana penggunaan VAR dalam saingan liga pada musim hadapan.