Kecewa tak dapat bersama Harimau Malaya dek kecederaan, Shahrul Saad akan kerja keras dapatkan tempatnya semula

518

Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Shahrul Saad mengakui berasa kecewa apabila tidak dapat bersama pasukan kebangsaan Malaysia pada kejohanan Pestabola Merdeka 2023 baru-baru ini dek kecederaan yang melanda dirinya.

Shahrul yang mengesahkan beliau kini sudah pulih sepenuhnya telah diturunkan pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2023 yang menyaksikan beliau berjaya menjaringkan gol untuk bantu JDT menang 4-1 ke atas Perak FC di Stadium Ipoh, Perak malam tadi.


“Pada saya sasaran saya tahun ini saya faham untuk Malaysia juga penting, sama juga dengan JDT kerana jadual perlawanan cukup padat.

Kecewa juga bagi diri saya pada masa yang getir saya mengalami kecederaan, saya gagal dapat tempat dalam skuad Pestabola Merdeka, tapi saya harap saya masih ada peluang untuk mewakili pasukan negara untuk perlawanan akan datang.

Saya akan bekerja keras untuk dapatkan semula tempat saya dalam pasukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau akan terbang ke Korea Selatan esok bersama pasukan bagi menghadapi perlawanan ketiga peringkat kumpulan AFC Champions League (ACL) menentang Ulsan Hyundai.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai kesilapan yang dilakukan oleh pemain pertahanan negara Dominic Tan yang menyebabkan skuad negara terpaksa akur dengan gelaran naib juara, Shahrul berkata semua pihak sepatutnya memberi semangat untuknya.

“Bagi saya kesilapan itu setiap manusia akan melakukan kesilapan cuma kita sepatutnya bagi semangat untuk beliau supaya beliau boleh belajar.

Sebenarnya kesilapan ini seharusnya ditanggung oleh kesemua pemain dan saya percaya dengan apa yang terjadi ia akan menjadikan Dominic lebih matang.”

Beliau pada masa sama akan terus memberi semangat kepada pemain itu dapat kembali kepada prestasi terbaiknya.