‘Post mortem’ Pestabola Merdeka akan diserahkan kepada Kim Pan-gon – Noor Azman
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman memberitahu pihaknya akan menyerahkan urusan ‘post mortem’ pasukan kebangsaan ketika Pestabola Merdeka 2023 baru-baru ini kepada ketua jurulatih Kim Pan-gon.
“Belum lagi kerana itu kita serahkan kepada Kim Pan-gon,”
jawabnya ringkas.
Noor Azman pada masa sama turut berkata FAM juga akan mengadakan perbincangan bagi membincangkan mengenai Malaysia sedia menawarkan diri menjadi tuan rumah buat Palestin untuk pusingan kelayakan bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak membenarkan Algeria menjadi hos.
“Perkara ini akan dibincangkan nanti kerana kita sedar selepas ciapan dari Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.
Kita akan bincangkan dan maklum kepada semua nanti.”
Terdahulu, Algeria menawarkan diri menjadi tuan rumah tetapi ditolak atas alasan Algeria berada di negara Afrika dan Palestin perlu mohon venue berkecuali yang berada di Asia.
Dalam pada itu, Noor Azman turut menjelaskan bahawa FAM sudah mempunyai ‘plan B’ untuk venue kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sekiranya Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak dapat digunakan.
“Setakat hari ini memang sah kita akan main di SNBJ tapi kita sentiasa memikirkan alternatif tapi buat masa ini tiada keperluan lagi.”
Terdahulu, Noor Azman hadir dalam program majlis pelancaran program ‘Road To Doha’ bersempena Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Doha, Qatar pada awal Januari 2024.